BEBERAPA mangsa yang menerima notis pengosongan rumah PPR menunjukkan laporan polis yang dilakukan. FOTO Mary Victoria Dass
BEBERAPA mangsa yang menerima notis pengosongan rumah PPR menunjukkan laporan polis yang dilakukan. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 21 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini buntu apabila menerima notis bagi mengosongkan unit masing-masing dalam tempoh seminggu.

Seorang penduduk, Rosmida Hussin, 45, berkata, dia memasuki rumah berkenaan pada 10 Oktober tahun menerima notis arahan pengosongan unit berkenaan pada 5 Jun lalu.

Menurutnya, dia dan sekumpulan penduduk terkilan apabila didakwa 'menceroboh' walaupun masing-masing sudah menjelaskan bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 sebelum memasuki rumah berkenaan.

"Ketika kami memasuki rumah ini, kami difahamkan pihak pengurusan sedang mencari penyewa baru kerana ada unit kosong selepas penyewa lama pindah keluar.

"Sekiranya mahu mengisi kekosongan itu, syarat yang dikenakan adalah kami perlu melangsaikan tunggakan sewa penyewa lama.

"Tawaran itu dikatakan terhad sehingga kami terpaksa berhutang, memajak emas, meminjam dari keluarga selain menjual kenderaan bagi mendapatkan sumber kewangan dalam tempoh masa pendek," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rosmida berkata, dia membuat pembayaran sejumlah RM3,500 ke akaun bank ketua blok serta dijanjikan surat tawaran menduduki PPR berkenaan.

Namun, katanya, apabila kumpulan penduduk menuntut surat tawaran, ketua blok memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

"Kami ingat nama akan dimasukkan dalam sistem dan menunggu surat tawaran malangnya kami dicop sebagai penceroboh dan diminta untuk melangsaikan denda kerana menceroboh.

"Lebih memburukkan keadaan, kami hanya berbaki tujuh hari untuk mengosongkan kediaman iaitu sebelum 18 Jun," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Skudai pada 6 Jun lalu.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Zarifah Abu Bakar, 68, berkata, kebanyakan penyewa yang teraniaya itu adalah golongan asnaf.

"Sebelum ini saya tinggal di Taman Daya, sebelum seorang rakan memaklumkan berpeluang menduduki PPR dengan bayaran tertentu.

"Saya terpaksa memajak emas bagi membuat bayaran RM3,500 yang diserahkan terus kepada ketua blok sebelum kami dibenarkan untuk menduduki PPR sejak lebih tiga bulan lalu.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada wang yang dikutip oleh ketua blok kerana dia menyatakan sudah menyerahkannya kepada wakil pengurusan," katanya yang memiliki seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, dia ada pihak termasuk Menteri Besar Johor u mahupun Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor masuk campur bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, pihaknya tiada pilihan tempat tinggal lain sekiranya terpaksa mengosongkan unit berkenaan.

"Bayangkan sekiranya kami memasuki secara haram, mengapa pihak pengurusan boleh membekalkan elektrik dan air ke kediaman kami.

"Kami bimbang kehilangan tempat tinggal dan ingin memohon ihsan kerajaan negeri supaya mempertimbangkan rayuan kami untuk terus tinggal di sini," katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor gagal apabila beliau berada di Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 8:33 PM