PELBAGAI aksesori ditawarkan untuk persediaan menyambut raya.
PELBAGAI aksesori ditawarkan untuk persediaan menyambut raya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


BAHANG kemeriahan lebaran semakin dirasai kerana 1 Syawal bakal diraikan beberapa hari lagi. Pusat beli-belah terus menjadi tumpuan berikutan umat Islam semakin sibuk berbelanja membeli barangan keperluan.

Segelintir warga kota menggunakan saat akhir dengan membeli-belah di sekitar bazar yang khusus menjual kelengkapan hari raya daripada pakaian, aksesori, perhiasan rumah hingga kuih raya.

Bagaimanapun, bazar larut malam Uptown Danau Kota, Setapak menjadi pilihan untuk mereka membeli keperluan masing-masing berikutan ia beroperasi sehingga jam 3 pagi. Lokasinya di ping­gir ibu kota yang mudah dikunjungi memboleh­kan warga di sekitar Kuala Lumpur mahupun Selangor membeli-belah di situ.

Menempatkan kira-kira 600 gerai dengan pelbagai pilihan barangan dengan keluasan keseluruhan bazar yang besar membuatkannya tidak lekang daripada kunjungan orang ramai terutama pada hujung minggu.

Selain itu, bazar larut malam ini juga terkenal de­ngan barangan bundle, produk kraf tangan, barangan antik, barangan berbentuk hobi dan produk tradisional. Pada masa yang sama, pengunjung boleh mencuci mata untuk membeli bara­ngan yang ditawarkan untuk semua peringkat usia.

PELUKIS inai, Zarina Begum Peer Mohamad memakaikan inai bercorak kepada seorang pelanggan cilik.
PELUKIS inai, Zarina Begum Peer Mohamad memakaikan inai bercorak kepada seorang pelanggan cilik.

Sudah tentu antara yang menjadi pilihan ketika ini adalah baju raya, tudung, kain samping, songkok dan kasut.

Bukan itu saja, pengunjung juga boleh mendapat kelengkapan raya yang lain misalnya kuih raya mahupun bahan dekorasi rumah pada harga berpatutan.

Faktor pelbagai pilihan yang ditawarkan di setiap gerai boleh menjadikan pengunjung rambang mata kerana semua keperluan Aidilfitri mengikut trend terkini, apatah lagi menepati cita rasa.

Berikutan bazar larut malam ini memberi pilihan kepada orang ramai untuk berbelanja di samping dapat membawa keluarga menghabiskan cuti bersama, ada pengunjung yang datang dari luar Lembah Klang.

Jika terasa hendak menjamu selera pula selepas puas berjalan-jalan dan membeli-belah, Uptown Danau Kota ini juga menawarkan lokasi juadah terbaik pada sebelah malam dengan kira-kira 80 gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman termasuk kudap-kudapan.

KASUT terpakai menjadi pilihan untuk bergaya pada hari raya.
KASUT terpakai menjadi pilihan untuk bergaya pada hari raya.

Biarpun sering sesak dengan orang ramai membeli-belah dan dijang­ka kebanyakan warga kota memanfaatkan peluang cuti hujung minggu ini untuk membuat persiapan terakhir, bazar larut malam ini terus menjadi pilihan utama masyarakat sehingga hari ini.

Tambahan pula, kemeriahan suasana membeli-belah pada saat-saat akhir ini dapat dirasai apabila penjual mula menurunkan harga berbanding ketika di awal Ramadan lalu dengan potongan antara 20 hingga 70 peratus.

Tentunya pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan pilihan mereka pada harga murah, malah menggunakan kesempatan membeli-belah pada saat-saat akhir sebagai satu keseronokan!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:26 AM