DATUK Jawahar Ali Taib Khan. FOTO Hazreen Mohamad
DATUK Jawahar Ali Taib Khan. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengusaha restoran di negara ini digesa untuk memastikan peralatan serta bahan mentah yang digunakan berada dalam keadaan bersih dan tidak tercemar.

Ia bagi memastikan risiko keracunan makanan dapat dielakkan dan membantu pengguna mendapatkan juadah mereka dengan selamat.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, selain itu pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu dipatuhi sebaiknya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, ia termasuklah memiliki sijil kursus penyediaan makanan yang diperakui, makanan tidak dikitar semula serta kebersihan peralatan yang digunakan.

"Selain itu, Presma ingin mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan lawatan berkala dengan lebih kerap untuk mengambil sampel makanan bagi tujuan ujian.

"Setakat ini, hanya restoran di lokasi tumpuan seperti lapangan terbang saja yang kerap, mungkin boleh diperluaskan kepada premis lain juga," katanya.

Beliau mengulas laporan media mengenai bayi perempuan 19 bulan dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut kerana keracunan makanan dipercayai selepas makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak, Sabtu lalu.

Katanya, pemilik restoran termasuk ahli persatuan itu perlu mengambil serius dengan apa yang berlaku kerana ia membabitkan penyediaan makanan dan minuman.

"Perlu ada kesedaran yang tinggi dalam hal ini, termasuk dalam kalangan pengusaha restoran kerana ia membabitkan keselamatan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 9:36 PM