DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP
DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan diumumkan secara rasmi esok.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, calon itu sudah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia membabitkan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini.

"Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan secara rasmi jam 9 malam, pada 12 Jun.

"Bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, mesyuarat memutuskan untuk melantik Rafizi Ramli dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan.

"Pengerusi Operasi Bersama PRK Dun Sungai Bakap mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan diketuai oleh Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Datuk Musa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 Jun lalu menetapkan hari pengundian PRK Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 8:58 PM