GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Satu kes kematian baharu akibat wabak rabies dilaporkan di Hospital Umum Sarawak pada 5 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah berkata ini menjadikan kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak kepada 79 kes dengan 72 kematian sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017.

"Daripada 79 kes ini, empat kes telah dikesan pada tahun ini dan kesemua mangsa meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan rabies," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada empat kes berkenaan, satu kes mendapat jangkitan melalui gigitan anjing liar manakala tiga lagi kes mendapat jangkitan melalui haiwan peliharaan mereka sendiri.

Menurutnya kesemua haiwan peliharaan itu tidak menerima vaksinasi anti-rabies serta bebas bercampur dengan haiwan liar.

"Antara tiga kes yang terdedah kepada haiwan peliharaan sendiri, kesemua mereka memelihara kucing manakala salah satu kes turut membela anjing di rumah," katanya.

Dr Veronica berkata kesemua kes juga tidak mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi anti-rabies di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar haiwan.

Beliau berkata sejak 2017 hingga Minggu Epid (ME) ke-22 tahun ini (26 Mei hingga 1 Jun 2024), terdapat 56,023 kes gigitan anjing, 47,258 kes gigitan atau cakaran kucing dan 1,577 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin mengingatkan orang ramai bahawa manusia boleh mendapat jangkitan rabies bukan sahaja melalui anjing, tetapi juga kucing yang dijangkiti rabies," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 9:12 PM