Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media Kejayaan Polis Diraja Malaysia menumpaskan pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah jenis syabu dan ganja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. FOTO GENES GULITAH
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media Kejayaan Polis Diraja Malaysia menumpaskan pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah jenis syabu dan ganja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. FOTO GENES GULITAH
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di Klang Selatan dan Subang Jaya dengan merampas 57.2 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM4 juta pada 5 dan 6 Jun lalu.

Turut ditahan lima lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kes pertama membabitkan rampasan dadah jenis ekstasi, Erimin 5; ketamin; syabu serta heroin base dengan keseluruhan berat 36.4 kilogram yang dijumpai dalam sebuah kereta dan sebuah rumah di kawasan Klang Selatan pada 5 Jun.

"Kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM4.12 juta dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

"Seorang penganggur berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

"Polis turut menyita sebuah kereta mewah dan sebentuk cincin emas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan tangkapan seorang lelaki tempatan di kawasan letak kereta di sebuah pusat beli belah di Subang Jaya yang mana polis menemukan syabu seberat 20.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM666,944 sekitar jam 1.50 petang, pada 6 Jun.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah. Polis turut merampas sebuah kereta serta wang tunai.

"Nilai rampasan dadah bagi kedua-dua kes berkenaan melebihi RM4 juta manakala sitaan keseluruhan adalah RM283,205," katanya.

Hussein berkata, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 9:18 PM