FITRY (tengah) akui kehadiran penyokong kali ini sangat berkurangan.
FITRY (tengah) akui kehadiran penyokong kali ini sangat berkurangan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mana perginya penyokong Harimau Malaya? Persoalan terbabit muncul apabila pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh dikatakan agak 'sunyi' tanpa kehadiran pemain ke-12 Harimau Malaya.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro jam 6.30 petang tadi mendapati keadaan persekitaran venue berkenaan aman tanpa limpahan penyokong Harimau Malaya.

Malah, gerai yang dibuka sekitar stadium juga tiada pengunjung sekali gus memberi bayangan perlawanan pada malam ini membabitkan Malaysia bertemu Taiwan agak sendu.

Seorang peniaga dikenali sebagai Fitry Aziz yang sudah lima tahun di pekarangan SNBJ mengakui perlawanan pada kali ini kurang penyokong berbandingan pertemuan sebelum ini.

Katanya, situasi berkenaan mungkin disebabkan faktor cuaca hujan selain perlawanan berlangsung pada hari bekerja menyebabkan penyokong bola sepak menghadapi kekangan untuk ke stadium.

"Selain itu, mungkin kekurangan penyokong disebabkan mereka sudah mengetahui peluang skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan seterusnya agak tipis," katanya yang menjalankan perniagaan pakaian dan tanjak.

Sebelum itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penjualan tiket sehinga jam 6 petang tadi bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Taiwan hanyalah sekitar 12,000.

Jumlah itu boleh dikatakan sedikit jika dibandingkan dengan kapasiti stadium yang mampu memuatkan lebih 80,000 penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 7:16 PM