ROSMAH Mansor
ROSMAH Mansor
BERNAMA

Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain telah memfailkan permohonan injunksi Mareva terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menghalang beliau mengeluarkan atau melupuskan mana-mana asetnya yang berjumlah lebih AS$346 juta (RM1.6 bilion).

Permohonan itu adalah susulan saman yang difailkan terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu dan seorang lagi individu berkaitan barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB yang diseleweng.

Permohonan itu difailkan oleh 1MDB dan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd selaku plaintif pertama hingga keenam.

Lima lagi ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Menerusi permohonan yang difailkan semalam, kesemua plaintif antara lain memohon injunksi bagi menghalang Rosmah daripada melupuskan aset berjumlah AS$346.01 juta sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, harta tanah atau lain-lain.

"Defendan pertama (Rosmah) berhak untuk mengeluarkan dan membelanjakan daripada satu akaun bank atau sumber yang lain tidak melebihi RM10,000 sebulan atau apa-apa jumlah lain yang diperintahkan oleh mahkamah yang diperlukan oleh defendan pertama bagi perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guamannya," kata plaintif.

Injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Permohonan itu akan didengar pada 14 Jun ini.

Sementara itu, pernyataan tuntutan 1MDB yang difailkan pada 4 Jun lalu mendakwa Rosmah memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain yang dibeli menggunakan dana syarikat berkenaan berjumlah lebih AS$346 juta (RM1.6 bilion) daripada 48 vendor berbeza di 14 negara.

Vendor terbabit ialah dari British Virgin Islands (satu), Hong Kong (sembilan), India (empat), Indonesia (dua), Itali (tiga), Lubnan (tiga), Mauritius (satu), Panama (satu), Singapura (satu), Thailand (dua), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), Turki (dua), United Kingdom (dua) dan Amerika Syarikat (tujuh) manakala lokasi tiga lagi tidak diketahui.

Pernyataan tuntutan itu difailkan selepas hampir empat minggu writ saman terhadap Rosmah dan Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) difailkan syarikat berkenaan pada 9 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

1MDB dan SRC mendakwa lapan entiti luar pesisir yang menerima dana tidak berkaitan dengan syarikat itu ialah Aabar Seychelles, Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Good Star Ltd dan World Merit Management Ltd yang didakwa bertindak sebagai perantara serta membuat pembayaran bagi barangan mewah terbabit.

"Antara tempoh 2010 dan 2014, lapan entiti di bidang kuasa luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 telah membuat 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489 kepada 48 vendor barangan mewah yang berbeza.

"Bayaran-Bayaran ini telah dibuat untuk pembelian barangan mewah bagi defendan pertama (Rosmah) dan barangan mewah ini telah diterima oleh defendan pertama," dakwa plaintif.

Oleh itu, kesemua plaintif antara lain menuntut Rosmah membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksir oleh mahkamah selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 9:17 PM