CHONG Wei mendaftar masuk di kaunter MAS di KLIA sebelum berlepas ke Oslo.
CHONG Wei mendaftar masuk di kaunter MAS di KLIA sebelum berlepas ke Oslo.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Sepang: Datuk Lee Chong Wei yang gagal ujian doping sampel A berlepas ke Oslo, Norway untuk mendapat jawapan bagi sampel B, malam tadi.

Ikon badminton negara itu mendaftar masuk menaiki penerbangan Malaysia Airlines kelas pertama di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.50 malam bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Sebelum ini Chong Wei gagal ujian doping pada 1 Oktober lalu selepas beraksi dalam satu kejohanan Ogos lalu.

Bagaimanapun, dia membuat keputusan merayu agar ujian sampel B dilakukan pada 16 Oktober.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) memutuskan untuk membuka dan menjalankan proses ujian sampel B esok.

Pemain nombor satu dunia itu dikatakan mengambil bahan terlarang Dexamenthasone iaitu ubat penahan sakit untuk kecederaan dialaminya dalam satu kejohanan utama Ogos lalu.

Penerbangan berlepas pada 11.55 malam itu akan singgah di London sebelum menuju ke Oslo yang dijangka memakan masa selama dua jam.

Keputusan mengenai ujian sampel B yang dijalankan di Hospital Universiti Oslo akan diketahui sehari selepas ujian dan hanya BWF berhak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Chong Wei enggan memberi sebarang kenyataan kepada media.

Turut menemani pemain itu adalah Pengurus Besar Persatuan Badmonton Malaysia (BAM) Kenny Goh bersama seorang peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:07 AM