Wanita Kurdis Turki memerhatikan pertempuran di Kobane di kawasan berhampiran lintasan sempadan Mursitpinar.
Wanita Kurdis Turki memerhatikan pertempuran di Kobane di kawasan berhampiran lintasan sempadan Mursitpinar.
AFP

Karaca (Turki)

Rumah batu dengan hanya dua bilik kecil kini menjadi tempat perlindungan lima keluarga Syria yang melarikan diri dari bandar Kobane ke Turki yang terletak cuma beberapa kilometer dari situ.

Perkampungan Karaca di Turki tidak sampai satu kilometer dari sempadan, namun besar ertinya bagi keluarga yang berlindung daripada pertempuran antara Negara Islam (IS) dan pejuang Kurdis di Kobane yang berlangsung lebih sebulan.

Sebuah jalan kecil memisahkan halaman rumah berkenaan dengan sebuah ladang dan dihujungnya bendera Turki berkibar. Kobane dapat dilihat tidak jauh di belakang.

Tiada pintu pagar memisahkan dua negara itu, hanya polis sempadan Turki yang membuat rondaan.

Setiap satu daripada lima keluarga Kurdis Syria di rumah itu masing-masing mempunyai kisah tersendiri bagaimana mereka berjaya menyelamatkan diri ke Turki.

Wanita warga emas, Sebah Temo yang datang ke situ bersama tujuh anaknya bersyukur selamat namun mengakui keadaan amat sukar apabila mereka semua terpaksa berkongsi satu tandas selain berhimpit-himpit tidur setiap malam.

“Berapa lama lagi kami terpaksa hidup seperti ini? Setiap malam kami terpaksa bersesak,” katanya.

Sebuah lubang sedalam dua meter dan ditutup konkrit digali di sebelah rumah itu berfungsi sebagai ‘sistem pembetungan’ - sesuatu yang nampaknya tidak wujud di perkampungan itu.

Semua keluarga ini merindui kampung halaman mereka dan tidak sabar pulang ke Kobane.

Kebanyakan pelarian menyelinap masuk ke Turki selepas menunggu berhari-hari dengan harapan tentera negara itu membantu mereka berpindah atau IS meninggalkan Kobane.

Seorang daripadanya, Sevket Hesin yang lari ke Turki lima hari lalu bersama isteri dan bayi mereka berusia dua bulan berkata, dia menunggu di sempadan 17 atau 18 hari.

“Namun hujan mula turun dan saya bimbang anak kami sakit lalu mengambil risiko memotong kawat berduri walaupun berdepan kemungkinan ditangkap.

“Mujur kami berjaya menyeludup masuk ke sini dengan selamat,” katanya.

Perjalanan singkat melintasi sempadan itu dipenuhi pelbagai bahaya termasuk daripada penyeludup yang menawarkan membawa pelarian Syria ke tempat selamat di Turki.

“Memang bahaya. Jiran saya cedera teruk apabila terpijak periuk api dan kakinya terpaksa dipotong.

“Namun kami sanggup kerana lebih teruk jika terpaksa terus berdepan IS,” katanya.

Pertempuran sengit antara pejuang Kurdis dan IS berlangsung lebih sebulan mengakibatkan kira-kira 200,000 - ramainya berbangsa Kurdis Syria - melarikan diri dari wilayah Kobane ke Turki.

“Saya cuba menguatkan semangat untuk mengatasi keadaan ini. Saya tidak pernah sangka kami perlu melalui keperitan ini,” kata Sebah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:03 AM