Rakyat Kurdis membuat simbol V sebagai lambang kemenangan ketika perarakan berhampiran sempadan Turki - Syria di Suruc, Sanliurfa. Mereka meraikan kejayaan pejuang Kurdis menyingkirkan IS dari bandar Kobane.
Rakyat Kurdis membuat simbol V sebagai lambang kemenangan ketika perarakan berhampiran sempadan Turki - Syria di Suruc, Sanliurfa. Mereka meraikan kejayaan pejuang Kurdis menyingkirkan IS dari bandar Kobane.

Washington: Sebahagian besar pejuang Negara Islam (IS) yang terbunuh dalam pertempuran di bandar Kobane, Syria adalah warga asing, kata pegawai kanan Amerika Syarikat semalam.

Menurut pegawai itu, kejayaan menakluki semula bandar berkenaan disebabkan kempen serangan berterusan yang melemahkan kemaraan militan.

Kelmarin, Unit Perlindungan Rakyat Kurdis (YPG) mengumumkan Kobane dibebaskan daripada penguasaan IS, sekali gus membantutkan usaha kumpulan militan terbabit meluaskan kawasan jajahannya di Syria dan Iraq.

Sebelum ini Amerika Syarikat mendakwa pejuang Kurdish sudah menguasai 90 peratus daripada bandar di sempadan Syria - Turki itu.

Sumber berkata, anggota IS mula meninggalkan bandar Kobane namun dia bersikap berhati-hati kerana menganggap militan terbabit mahir menyesuaikan diri serta berdaya tahan tinggi.

“Setakat ini belum ada pihak mengumumkan misi mereka berakhir,” katanya.

Pegawai kanan keselamatan itu berkata, IS meletakkan pejuang warga asing yang terbaik di Kobane.

Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh enam minggu, kekalahan dialami mewujudkan perpecahan antara mereka.

Menurut pemerhati, IS kehilangan hampir 1,200 pejuang dalam pertempuran berkenaan.

“Kami tidak mengira jumlah mayat yang ditemui, namun antara mereka yang terbunuh adalah warga Australia, Belgium, Kanada dan Chechen,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:03 AM