PENDUDUK Kobane meraikan kejayaan pejuang Kurdis mengusir militan IS di bandar terbabit.
PENDUDUK Kobane meraikan kejayaan pejuang Kurdis mengusir militan IS di bandar terbabit.

Beirut: Pejuang Kurdis berjaya menyingkirkan kumpulan militan Negara Islam (IS) dari bandar Kobane, Syria dan mengibarkan bendera mereka Isnin lalu, sekaligus memberi tamparan hebat kepada pengganas itu selepas beberapa bulan bertempur.

Sementara itu, seorang pegawai kanan tentera, mengisytiharkan tentera Syria membebaskan wilayah Diyala daripada IS.

Di Syria, pejuang Kurdis terus mara di Kobane, yang bersempadan Turki, sebagai kemuncak pertempuran yang berlangsung lebih empat bulan dan mengorbankan hampir 1,800 orang.

Badan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) menyingkirkan kesemua pejuang IS dari Kobane dan kini menguasai bandar berkenaan.

“Pejuang Kurdis cuba menjejaki beberapa militan di pinggir timur bandar Kobane, tetapi tiada lagi pertempuran dari dalam bandar itu,” kata pengarahnya Rami Abdel Rahman.

Pentadbiran Amerika Syarikat menyatakan, pasukan Kurdis mulai menguasai hingga 90 peratus Kobane.

“Walaupun peperangan dengan IS belum berakhir, namun kegagalan di Kobane menyekat objektif strategi mereka,” katanya.

Pasukan Kurdis menjalankan ‘operasi pembersihan’ ke atas saki-baki IS di Maqtala, di timur bandar itu.

Menurut jurucakap YPG, Polat Jan, mengumumkan kejayaan itu dalam Twitter: “Tahniah kepada kemanusiaan, Kurdis dan rakyat Kobane atas pembebasan bandar ini.”

“YPG kini mara dengan berhati-hati di Maqtala kerana bimbang dengan ancaman periuk api dan bom kereta.”

Bagaimanapun, Amerika Syarikat yang mengetuai serangan bom ke atas IS di Syria dan Iraq masih mengambil langkah berjaga-jaga dan enggan mengesahkan pertempuran itu sudah berakhir.

Kemaraan Kurdis berlaku selepas Pentagon menyatakan gabungan antarabangsa melancarkan 17 serangan udara di kawasan militan yang bertempat di Kobane dalam tempoh 24 jam.

Sasaran termasuk unit taktikal, kedudukan pertempuran, kenderaan IS dan tempat persiapan.

Kehilangan Kobane yang juga dikenali sebagai Ain al-Arab menjadi kekalahan hebat bagi IS.

Setakat ini, kumpulan itu sudah kehilangan 1,196 anggotanya sejak menawan bandar itu pada 16 September, kata SOHR yang berpangkalan di Britain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:07 AM