35 peratus daripada pejuang Kurdis adalah wanita.
35 peratus daripada pejuang Kurdis adalah wanita.
SEORANG anggota YPG berlatih menembak.
SEORANG anggota YPG berlatih menembak.
Anggota wanita YPG.
Anggota wanita YPG.
Agensi

Kobane: “Kami mahu semua orang tahu tidak ada bezanya wanita dengan lelaki dalam soal mempertahankan negara.”

Itu mesej dari sekumpulan wanita berani yang menyertai perjuangan bersama-sama Unit Perlindungan Rakyat Kurdis dalam menentang militan yang mendakwa diri mereka dari kumpulan Negara Islam (IS).

Wanita muda itu yang dilihat berlatih menggunakan raifal AK-47 berkata, mereka terdorong menyertai YPG untuk membantu menyekat kemaraan IS di kampung halaman mereka.

Rekrut wanita YPG itu juga berlatih bersama rakan sepasukan lelaki mereka berhampiran Kobane, bandar Kurdis di selatan Syria yang menjadi sasaran serangan IS sejak beberapa bulan lalu.

Seorang daripada mereka berkata: “IS gerun dengan senjata kami dan mereka terkejut dengan keberanian kami.

“Kami gesa semua wanita di seluruh dunia supaya tidak memandang rendah pada diri mereka dan yakin mereka juga boleh mencapai apa yang dimahukan.”

Sebahagian daripada wanita muda itu bercuti sementara dari sekolah untuk menyertai perjuangan berkenaan.

Naline, 19, rekrut YPG berkata: “Setiap kali ke sekolah saya bimbang. Kerana itu saya berhenti untuk mempertahankan tanah dan negara saya, melindungi rakan daripada kebimbangan yang saya rasakan.

“Saya korbankan masa depan saya untuk negara dan orang lain.”

Konsortium Kajian dan Analisis Keganasan (TRAC) melaporkan, 35 peratus daripada kira-kira 10,000 pejuang Kurdis di utara Syria terdiri daripada wanita dan daripada jumlah itu, ratusan daripada mereka kini terbabit dalam pertempuran di Kobane.

Menyertai YPG adalah sukarela. Wanita Kurdis menyertainya kerana perjuangan bersenjata adalah darah daging mereka. Mereka berganding bahu dengan lelaki Kurdis sejak 1930-an. Malah sebelum dibenarkan ke garisan depan, ada yang berpakaian seperti lelaki semata-mata untuk dipilih masuk ke dalam kumpulan itu.

Aktivis Kurdis, Hatice Cevik berkata: “Tidak semua wanita yang terbabit dalam pertempuran adalah pejuang sebelum perang bermula. Ada yang bersekolah atau bekerja. Sebahagiannya suri rumah. Mereka berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dan lelaki Kurdis bangga dengan itu.”

Nesrin, 20, pelajar perubatan adalah antara yang mengambil cuti untuk bersama-sama berjuang menentang IS.

Di bandar kelahirannya di Kobane, saat meraikan kegembiraan begitu jarang, tetapi sekeping gambar tiga hari lalu menunjukkan sebaliknya apabila Nesrin dan rakan pejuangnya berjaya menawan semula semua bukit strategik daripada IS.

Bendera hitam kumpulan militan itu dikoyakkan dan diganti dengan bendera merah kuning Kurdis, menandakan titik peralihan pergelutan hidup atau mati bagi bandar yang terkepung itu.

Tetapi Nesrin sedar setiap hari mungkin menjadi hari terakhirnya.

“Semua orang tahu apa akan terjadi jika IS menangkap anda. jika wanita, mereka akan diperkosa sebelum dipancung.

“Saya membawa bersama Kalashnikov. Andai kata saya berdepan seorang daripada mereka, saya belum pasti apa yang hendak dilakukan. Mungkin menembak dia mati atau saya akan membunuh diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:04 AM