PILIH kain yang sesuai untuk keselesaan ketika tidur.
PILIH kain yang sesuai untuk keselesaan ketika tidur.
Teks dan gambar Kusyi Hirdan

Kita menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan dengan tidur. Tidur yang lena dan mencukupi menjamin kesegaran kita sepanjang hari, juga untuk kesihatan jangka panjang.

Kurang tidur atau tidak mendapat tidur yang selesa memberi banyak kesan sampingan pada kesihatan. Wajah yang kusam, penat dan tidak bermaya selalunya berkait rapat dengan jumlah tidur. Lebih tidur pun tidak elok.

Justeru, kita semua tahu betapa pentingnya mendapatkan tidur yang baik. Kita cepat mengait–kan tidur yang sempurna dengan tempat tidurnya iaitu tilam. Tilam terbaik, mahal dan dibuat daripada bahan yang berkualiti dikatakan memberi tidur yang terbaik kepada penggunanya. Kita lupa pada satu lagi yang tidak kurang pentingnya. Cadar.

Penting sangatkah cadar? Ada yang mengatakan impak sehelai cadar ialah untuk tampil cantik. Cantik cadar, cantiklah biliknya.

Cadar sebenarnya mempunyai peranan yang sangat penting untuk keselesaan rehat dan tidur kita. Bayangkan mendapat cadar kasar, panas dan menggatalkan kulit. Ia menjadi mimpi ngeri pula setiap kali mahu melelapkan mata.

Memilih cadar yang bersesuaian tidak boleh tangkap muat saja. Ketika mahu membeli cadar perlu diingat kesesuaiannya dengan cuaca dan suhu bilik kita. Adakah ia memberi keselesaan atau sekadar cantik saja? Adakah ia menjamin anda mendapat tidur secukupnya?

Kerana kepentingan sekeping kain itu, tiada salahnya melabur sedikit wang untuk cadar yang baik demi keselesaan tidur yang bermutu. Bagi yang biasa dengan sesuatu material ataupun jenama cadar, yang sudah diyakini memberi kesegaran padanya setiap kali bangun pagi, dia tidak mahu menukar material yang lain.

Kain pilihan

Memilih kain jangan dikaburi dengan kecantikan coraknya. Ada yang coraknya sangat cantik dan menawan hati tetapi tekstur kain itu sendiri tidak sesuai sebagai cadar pun. Ingat, cadar untuk tidur yang selesa. Bukan sekadar bergaya.

Jenis kain sangat penting. Pilihan begitu banyak di pasaran sekarang. Sama ada berjenama ataupun dijual di pasar raya dan pasar malam saja. Ikut selera masing-masing. Anda mungkin menemui sehelai kain yang sangat selesa di pasar malam. Nah, itu pun sudah memadai.

Mahal tidak bermakna sesuai. Kadangkala cadar yang mahal hanya kerana jenamanya. Pilihan kain yang lembut, licin, hangat, tebal, menjadi kesukaan peribadi. Keselesaan masing-masing juga subjektif. Jadi sekiranya anda mahu menghadiahkan cadar kepada seseorang, tanya dulu pilihan kainnya.

Memilih cadar yang selesa menampung badan sebenarnya perlu menjadi kepentingan utama. Ini kerana anda menggunakan cadar itu untuk lapan jam sehari. Sekiranya tidak selesa, anda juga yang mendapat akibatnya kelak.

Kain kapas dikatakan material terbaik dalam pemilihan cadar. Ia selesa, sejuk dan sesuai dengan iklim panas di Malaysia. Kain kapas paling digemari. Sifatnya yang berongga dapat memberikan badan pengaliran udara yang baik kerana ia adalah hasil gentian semula jadi berbanding poliester yang sintetik.

Walaupun kain kapas impian utama, namun poliester tetap juga popular kerana harganya yang murah. Untuk memuaskan hati kerana bajet kecil, pengguna boleh mendapatkan kain yang digabungkan kedua-duanya sekali, kain kapas dan poliester. Harganya lebih murah berbanding 100 peratus kapas.

Bagi yang tidak peduli kepada harga cadar kain kapas yang mahal, perlu diingat kain itu juga ada kekurangannya. Ada kalanya kain kapas mengecut selepas dibasuh dan ia juga sangat lembut dan menjaganya perlu berhati-hati.

Corak pilihan

Memilih cadar tidak dapat dielakkan daripada godaan corak yang menarik. Cadar adalah elemen penting membang-

kitkan suasana di bilik tidur. Ia dijadikan fokus utama pemakainya dalam menampilkan warna kegemaran juga sebagai pembangkit suasana keselesaan di ruang bilik yang selalunya bersifat peribadi.

Warna dan corak cadar juga digunakan sekiranya pemiliknya mahu menukar suasana dan keadaan. Tahun baru dengan tema baru dan warna baru. Cadar yang paling mudah digunakan sebagai objek utama yang mendapat sentuhan berbeza daripada tahun sebelumnya.

Polos, bercorak bunga-bungaan atau cetakan warna, kesilapan memilih cadar akan merosakkan keseluruhan penampilan bilik tidur. Berhati-hatilah.

Jalan selamat, minimumkan corak cadar anda atau pilih yang polos saja!

Harga?

Kalau hati sudah suka, harga mahal pun tidak mengapa. Itu pada mereka yang berkemampuan. Bagi yang berpendapatan sederhana, sama ada memilih cadar tanpa jenama ataupun menunggu waktu ada potongan harga baru mendapatkan cadar idaman.

Di pasar raya terkemuka, begitu banyak pilihan cadar diberi kepada pembeli. Daripada yang murah sehinggalah yang mahal. Setiap satu ada peminat tersendiri.

Apakah kriteria yang dipentingkan pembeli? Corak, jenis kain, jenama, harga? Berdasarkan pandangan beberapa rakan, penulis mendapat jawapan ini.

Noor Layla menjawab dia mementingkan jenis kain. Selepas itu baru corak dan warna kegemaran.

Raja Saliza Jaafar pula akan memilih corak yang sesuai dengan biliknya.

“Harga jatuh nombor dua. Ada pasar raya yang menawarkan harga berpatutan. Sekiranya mahu yang berjenama saya tung-

gu potongan harga. Turun 70 peratus baru beli,” katanya.

Ku Noor pula mementingkan jenis kain. Diikuti corak dan akhir sekali harga.

“Sebabnya cadar kenalah selesa walaupun tak perlu mahal sangat. Corak pula bila perlu disesuaikan dengan ruang bilik,” katanya.

Ku Noor juga memilih kain kapas kerana ia sejuk dan selesa. Bersetuju dengan Raja Saliza, untuk membeli yang berjenama, tunggulah masa jualan murah ditawarkan.

Zaidatul Akhmar juga sangat mementingkan jenis kain. Kemudian barulah harganya.

“Saya suka warna yang lembut dan corak yang sedap dipandang sesuai dengan umur yang memakainya,” katanya.

Mastura Saharuddin juga mementingkan jenis kain yang sesuai. Begitu juga Hadzilah Abu Bakar.

“Jenis kain yang bermutu semestinya mahal tetapi yang penting warnanya tak luntur,” akuinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:32 AM