SAIZ dan ukuran katil perlu diambil bagi memastikan cadar yang bakal dibeli bersesuaian.
SAIZ dan ukuran katil perlu diambil bagi memastikan cadar yang bakal dibeli bersesuaian.

TEKSTUR tilam dan bantal yang empuk tidak mencukupi sekiranya anda ingin menikmati tidur selesa, sebaliknya penggunaan cadar memberi efek lembut pada permukaan kulit individu.

Bagi mereka yang mementingkan keselesaan dan gaya termasuk di kamar tidur, berikut antara panduan yang mungkin dapat membantu dalam pemilihan cadar terbaik.

1. Ukuran katil

Sebelum membeli cadar, pastinya saiz dan ukuran katil perlu diambil bagi memastikan cadar yang bakal dibeli bersesuaian. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Ukuran katil ini diambil kira dari kepala hingga kaki katil, kiri dan kanan serta ketebalan tilam yang digunakan.

2. Jenis fabrik

Kain kapas dan linen antara jenis material terbaik bagi cadar kerana ia mempunyai fiber yang senang bernafas serta mudah menyerap peluh, sekali gus bersesuaian dengan keadaan iklim negara kita yang panas. Antara pilihan lain, poliester, sutera atau fabrik jenis campuran.

3. Tenunan dan kiraan benang

Fabrik yang ditenun menggunakan jumlah benang mendatar dan menegak yang sama menghasilkan cadar lebih tahan lama. Kiraan benang selalunya tertera pada label menunjukkan bilangan benang yang digunakan bagi setiap inci persegi di bahagian atas dan belakang sulaman cadar. Semakin banyak kuantiti benang digunakan, semakin lembut cadar berkenaan.

4. Proses warna

Kebanyakan cadar yang diwarnakan atau dicelup selepas ia ditenun memiliki kualiti rendah dan sedikit keras. Manakala, cadar berkualiti tinggi pula melalui proses celup sebelum ia ditenun.

5. Warna

Disarankan memilih warna yang tenang untuk memberi suntikan santai ketika beristirahat, namun ia bergantung pada cita rasa individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 5:00 AM