TEKNIK pencahayaan juga sangat penting.
TEKNIK pencahayaan juga sangat penting.

Salam deko. Minggu ini saya ingin membincangkan mengenai bilik tidur utama. Ia bukan hanya tempat melelapkan mata tapi turut menjadi lokasi untuk berehat dan membuat kerja rumah.

Ramai menjadikannya sebagai ruang istirahat paling privasi termasuk dilengkapi dengan televisyen.

Cipta suasana menarik di ruang itu dengan menambah dekorasi eksklusif supaya bilik tidur utama lebih segar dan ‘hidup.’ Kini warna polos seperti putih, coklat dan krim berupaya menjadikan bilik lebih selesa dan redup. Elak memilih warna terang seperti merah, kuning atau jingga kerana ia memberi tenaga dan membuatkan bilik ‘panas’.

Dari segi pilihan perabot pula, ia semestinya perlu disesuaikan dengan konsep bilik. Pastikan katil dan meja sisi ditempatkan di ruang sesuai. Elak meletak katil bertentangan dengan pintu masuk, lebih-lebih lagi jika pintu itu menghadap ruang tamu. Pastikan saiz perabot bersesuaian dengan ruang bilik dan pilih almari yang ada ruang stor lebih fleksibel dan luas.

Lebih menambahkan kelainan jika perabot di bilik tidur dalam warna dan corak sedondon supaya tampak lebih bersesuaian. Jika anda ingin memasang kertas dinding, pilihlah kemasan lembut dan ringkas. Elak corak terlalu sarat dan besar kerana ia akan menjadikan suasana kamar kelihatan sesak dan menolak elemen istirahat.

Dapatkan corak cadar sesuai dengan konsep ruang bilik tidur utama anda. Ketengahkan cadar lebih polos dan natural kerana ia membuatkan bilik tidur utama anda lebih kemas serta tenang. Pilih fabrik daripada jenis kain kapas supaya ia mudah, selesa tampak cantik dan lembut pada permukaan tilam.

Selain itu, pilihan satin juga antara alternatif terbaik. Elakkan kain cadar yang keras dan kasar kerana ia kelihatan kejung pada permukaan tilam dan mencacatkan dekorasi katil. Bagi menambah seri, letak sedikit hiasan deko menarik seperti gantungan gambar menenangkan seperti pemandangan atau bunga-bungaan.

Dalam menambahkan keindahan, wujudkan satu sudut untuk sentiasa meletakkan bunga segar sebagai penyeri suasana. Antara bunga segar dicadangkan ialah carnation, mawar dan lili.

Malah, teknik pencahayaan juga sangat penting. Elak menggunakan lampu kalimantang yang terang benderang di bilik tidur. Pilih lampu kuning malap supaya suasana menjadi lebih tenang dan redup. Jika anda sering membaca di bilik tidur, dapatkan lampu kaki terang, memadai menerangi sudut bacaan dan bukan untuk keseluruhan bilik.

Anda juga tidak seharusnya melupakan haruman. Cuba hiris helaian daun pandan dan campur bersama kelopak bunga. Letak dalam pasu kaca dengan sedikit air putih dan campuran air mawar. Percayalah dalam beberapa minit seluruh bilik tidur pasti harum mewangi dan berkekalan hampir seminggu lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:10 AM