KOLEKSI perabot pula perlu sesuai dengan konsep dekorasi ruang ini.
KOLEKSI perabot pula perlu sesuai dengan konsep dekorasi ruang ini.
JADIKAN bilik tidur sebagai ruang paling privasi.
JADIKAN bilik tidur sebagai ruang paling privasi.
Oleh Faizal Zain

Salam deko! Serlahkan kamar beradu atau bilik tidur dengan mencipta suasana tenang dan mendamaikan di ruang itu. Bilik tidur juga dilihat sebagai antara ruang paling privasi untuk saat santai. Umpamanya membaca sebelum tidur, menyiapkan kerja pejabat yang mungkin dibawa pulang ke rumah, ruang untuk menonton dan berbicara bersama-sama pasangan.

Senarai tadi dengan menandakan bilik berkenaan adalah ruang yang seharusnya menampilkan suasana tenang dan selesa. Bukannya bilik untuk melonggokkan timbunan pakaian, menyimpan pelbagai perkakas bagaikan stor atau menyumbat pelbagai jenis perabot yang tidak lagi mahu digunakan.

Dalam menata hias bilik tidur kebanyakan kita melakukan kesilapan dari beberapa aspek hingga hasilnya tidaklah seperti yang diidam-idamkan. Jadi untuk minggu ini mari saya kongsikan bersama beberapa panduan berguna untuk membantu pembaca supaya berjaya dalam menata hias ruang di bilik tidur tidak kira anda masih bujang atau sudah berkahwin.

Pertama, pastikan anda memilih warna yang menarik untuk menghiasi bilik tidur. Bukan saja menarik, tapi kepentingan ‘mood’ warna juga perlu diberi perhatian. Bagi bilik tidur jika anda mementingkan ketenangan yang maksimum pastikan warna polos menjadi tunjang utama.

Pilih daripada dua kombinasi warna yang sesuai buat bilik tidur sederhana dan tiga kombinasi warna untuk bilik yang sedikit luas. Warna yang membangkitkan suasana relaks dan santai antaranya putih, krim, ungu, biru, hijau, kelabu dan merah jambu lembut. Warna ini mempunyai pelbagai tahap kepekatannya. Namun pastikan pilihan anda adalah daripada koleksi pastel untuk 70 peratus ruang, sementara selebihnya bolehlah menggunakan warna koleksi yang lebih pekat.

Sudah diketahui umum, warna merah jambu lembut dan ungu pastel cukup mudah membangkitkan suasana kasih sayang. Ia amat sesuai bagi pasangan yang baru berkahwin. Bagaimanapun, warna ini juga sesuai bagi anda yang sudah lama mendirikan rumah tangga tapi mahu membangkitkan kehangatan dalam perhubungan.

Kemudian pemilihan perabot yang bersesuaian dengan konsep diinginkan juga amat membantu dalam sentuhan dekorasi kamar beradu anda. Sebelum memilih perabot kenal pasti saiz bilik tidur anda supaya bersesuaian di antara kedua-duanya. Pastikan anda tidak memasukkan terlalu banyak perabot ke dalam bilik tidur. Jika tema klasik menjadi pilihan, perabot dari jenis kayu berukir adalah amat bersesuaian. Jika tema moden adalah pilihan, perabot ringkas daripada kayu atau besi sudah cukup memainkan peranan. Namun jika anda ingin menghasilkan tema glamor, pastikan katil dan kepala katil yang tinggi berfabrik didatangkan dengan dengan butang kristal menghiasi kamar tidur anda.

Elakkan meletak katil bertentangan dengan pintu masuk lebih-lebih lagi jika pintu itu menghadap terus ke ruang tamu. Jika anda mempunya bilik tidur yang sempit, katil dengan ruang penyimpanan di bawahnya adalah pilihan yang cukup bijak.

Selepas itu, sesuaikan pilihan langsir dengan warna bilik tidur serta warna cadar katil. Seperti yang dikatakan tadi untuk memaksikumkan kesan mendamaikan, pilihan polos adalah yang paling baik. Jika anda masih mahukan corak, pastikan ia adalah dari corak-corak yang kecil dan tidak terlalu menonjol. Jika anda ingin memasang kertas dinding, bolehlah pilih dinding utama di bahagian kepala katil tetapi untuk ruang yang terhad dinding bersebelahan katil juga boleh dijadikan sebagai dinding berlatarkan kertas dinding.

Seterusnya pastikan pemilihan cadar katil juga bersesuaian dengan keselesaan. Pastikan anda memilih daripada fabrik lembut dan ‘mesra’ dengan kulit anda supaya tidur nanti berkualiti dan tidaklah terjaga atau tergaru-kagu sepanjang malam kerana permukaan fabrik cadar yang kasar hingga menggatalkan kulit.

Coraknya pula pastikan ia dari jenis polos atau dengan sedikit bunga-bungaan dan lebih baik jika cadar anda juga adalah dari koleksi warna pastel. Selain itu anda boleh meletakkan bantal kecil di atas katil atau dibiarkan rawak di atas lantai bilik kerana kehadiran bantal yang banyak tidak menyalahi etika di bilik tidur.

Jika masih mempunyai ruang kosong pada dinding, anda boleh memilih untuk menggantungkan gambar sebagai perhiasan. Seelok-eloknya gambar untuk bilik tidur adalah dari pemandangan suasana alam dan bunga-bungaan supaya ia menjadi penenang serta terapi mata saat memandangnya. Elakkan gambar perhiasan yang bertemakan hiruk-pikuk kota, lukisan yang serabut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:01 AM