Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dia mencuri gambar dan identiti orang lain di Facebook (FB) sebelum membuat Mykad palsu.

Berbekalkan Mykad palsu itu, suspek kemudian memohon kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad kredit yang akan digunakannnya untuk melakukan penipuan pembelian barangan dalam talian.

Itu taktik licik seorang lelaki berusia 35 tahun yang memperdayakan peniaga pelbagai barangan dengan menggunakan identiti palsu dicurinya itu sejak 2018 sehingga menyebabkan kerugian RM80,000.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, graduan dari United Kingdom (UK) itu mempelajari ilmu penipuan terbabit daripada rakan-rakan ketika dia belajar di sana sebelum mula menipu kononnya ingin membeli barangan melalui dalam talian.

Menurutnya, modus operandi suspek yang bergerak sendiri itu akan menggunakan Mykad palsu individu lain yang dibuat sendiri selepas mengambil butiran maklumat daripada FB sebelum memesan barangan yang ingin dibeli menggunakan alamat palsu untuk penghantaran.

"Selepas itu, suspek akan membuat bayaran menggunakan aplikasi e-wallet namun sebaik barangan yang ditempah itu diperolehnya, lelaki itu akan segera menghubungi syarikat aplikasi terbabit dengan memberi alasan identitinya digunakan orang lain dan dia tidak ada membuat bayaran seperti itu dengan meminta pembayaran itu dibatalkan.

"Selepas wangnya diterima balik, suspek yang bekerja sebagai peniaga dalam talian kemudian akan menjual semula barangan ditipunya itu lebih murah daripada harga pasaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, selain itu, suspek juga melakukan penipuan menjual barangan dalam talian tidak wujud di mana apabila mangsa membuat bayaran, barangan yang dibeli mereka tidak diterima.

Bagaimanapun katanya, kegiatan suspek terbongkar selepas pihaknya menerima laporan polis daripada pengurus syarikat menjual alatan memancing Jumaat lalu yang kerugian RM14,000 selepas menjadi mangsa penipuan suspek.

BEH Eng Lai (kanan) melihat barang rampasan kes penipuan atas talian  pada sidang di IPD Sentul.  FOTO Fathil Asri
BEH Eng Lai (kanan) melihat barang rampasan kes penipuan atas talian pada sidang di IPD Sentul. FOTO Fathil Asri

"Bertindak atas laporan itu, polis kemudian mengesan suspek dan menahannya di Sungai Buloh, Selangor Jumaat lalu.

"Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk alatan untuk penipuan seperti 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 131 kad sim pra bayar, 45 keping kad kredit, lapan Mykad palsu, dua pasport palsu dan 32 keping kad akses perumahan," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas adalah dua mesin pencetak akses kad, komputer riba, resit deposit wang, fail mengandungi maklumat rekod transaksi, buku mengandungi maklumat mangsa dan tujuh kotak kosong untuk tujuan penghantaran.

"Antara barangan yang dibeli suspek adalah lima unit alat memancing pelbagai jenama, 18 unit CPU, beg, pemanas air, penghawa dingin dan lain-lain.

"Suspek mengaku melakukan sekurang-kurangnya 40 penipuan dan polis menerima enam laporan membabitkan kerugian RM80,000," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna FB supaya berhati-hati dan tidak terlalu berkongsi maklumat peribadi sehingga diambil kesempatan oleh individu lain untuk tujuan jenayah.

"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 1:31 PM