SUBAHAN (kanan) ketika menjadi Naib Presiden FAM.
SUBAHAN (kanan) ketika menjadi Naib Presiden FAM.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Datuk Seri Subahan Kamal sah layak bertanding pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 13 Februari ini selepas difahamkan memenuhi syarat mendapat sekurang-kurangnya tiga pencalonan daripada ahli gabungan badan induk itu.

Selepas Persatuan Hoki Selangor (SHA) menjadi pihak pertama mencalonkannya, difahamkan beberapa persatuan negeri lain, antaranya Persatuan Hoki Terengganu serta Persatuan Hoki Melaka turut mencalonkannya untuk jawatan tertinggi itu.

Malah beberapa sumber memberitahu, bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dijangka akan mendapat lebih daripada tiga pencalonan apabila tarikh menghantar borang pencalonan tamat pada jam 12 tengah hari ini.

Setiausaha Agung MHC Datuk Mohd Johari Abd Aziz bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya menegaskan segala-galanya akan diumumkan selepas berakhir tarikh penghantaran pencalonan, hari ini.

“Memang ada yang sudah menghantar borang pencalonan ke MHC, tapi saya belum melihatnya dengan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh memberitahu secara lebih jelas. Segala-galanya akan kami umumkan esok (hari ini),” katanya kepada Arena Metro semalam.

SHA minggu lalu secara terbuka mengesahkan mencalonkan Subahan yang juga Presiden SHA untuk kerusi Presiden.

Sebanyak 32 perwakilan, masing-masing dua daripada 16 ahli gabungan akan memilih kepimpinan baru pada AGM 13 Februari.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyandang jawatan Presiden MHC, sudah menyatakan hasrat untuk berundur sekali gus memberi laluan kepada individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:47 AM