Kuala Lumpur: Keputusan untuk mencalonkan Datuk Seri Subahan Kamal bertanding jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 13 Februari ini bukan berdasarkan populariti, sebaliknya beliau dipilih berdasarkan pencapaian cemerlangnya memimpin Persatuan Hoki Selangor (SHA).

Menurut Setiausaha Kehormat SHA P Kuganeson, pada pandangan pihak persatuan Subahan begitu komited membangunkan sukan itu khususnya di Selangor dan atas faktor itu, beliau dianggap sesuai menggalas tugas selaku Presiden MHC.

Justeru Kuganeson berharap dengan pencapaian cemerlang Subahan sebelum ini, ia dapat membuka mata persatuan negeri lain untuk mencalonkan beliau bertanding kerusi nombor satu MHC.

“Walaupun Selangor tidak mempunyai padang hoki, setiap tahun ada saja kejohanan yang akan disertai kami.

“Malah ada juga yang menyaksikan kita menang sesuatu kejohanan itu. Dengan pencapaian semasa, saya harap ia boleh menjadi rujukan negeri lain untuk mencalonkan serta menyokongnya sebagai calon presiden,” katanya.

Jelas Kuganeson, pencapaian Subahan juga dilihat memberangsangkan sepanjang beliau berada dalam kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Kini, Subahan yang juga Presiden SHA hanya memerlukan dua lagi pencalonan daripada ahli gabungan sebagai memenuhi syarat sekurang-kurangnya mendapat tiga pencalonan bagi mengesahkannya untuk bertanding.

Tarikh akhir bagi menghantar borang pencalonan adalah pada Isnin ini.

Sebanyak 32 perwakilan masing-masing dua daripada 16 ahli gabungan akan memilih kepimpinan baru pada AGM 13 Februari ini.

Penyandang jawatan Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah menyatakan keputusannya untuk berundur sekali gus memberi peluang kepada individu lain memimpin badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:19 AM