Agensi

Jakarta: Penyanyi Ashanty amat gembira dengan kehadiran cucu pertamanya, Ameena Hanna Nur Atta hasil perkahwinan anaknya, Aurel Hermansyah dengan YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar.

Ashanty berkata, dia sangat bahagia berada di samping cucunya yang dilahirkan pada 22 Februari lalu. "Saya merasa ingin selalu berada di samping Ameena. Namun, saya perlu menahan diri dari berbuat demikian.

"Ini kerana saya diminta Anang agar tidak kerap berkunjung ke kediaman Aurel dan Atta untuk menjenguk cucu. Kadang-kadang memang terasa sangat rindu, tapi saya kena patuh pada Anang," katanya. Menurutnya, Anang memberitahunya mereka tidak boleh setiap hari pergi bertandang begitu saja. "Katanya, anaknya sudah berkeluarga, jadi kita perlu menahan diri untuk pergi terlalu kerap," katanya dalam YouTube Seleb Oncam News.

Aurel dan Atta berkahwin pada 3 April tahun lalu. Pada Mei tahun lalu juga Aurel pernah mengalami keguguran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 2:46 PM