Kalau sudah bertaraf 'superstar', bukan saja si ibu mendapat layanan istimewa, malah anaknya juga turut mendapat layanan lima bintang.

Aishwarya Rai yang memang tidak boleh berpisah dengan anak tunggalnya Aaradhya, 4, akan turun ke lokasi filem terbarunya, Jazbaa selepas lima tahun tidak berlakon kerana hamil dan melahirkan Aaradhya.

Untuk tidak mengganggu fokus Aishwarya terhadap lakonannya, produser dan pengarah filem itu Sanjay Gupta menyediakan van mekap khas untuk Aaradhya yang diubahsuai menjadi bilik rehat dan bilik permainan si kecil itu yang diletakkan di lokasi penggambaran.

Menurut Sanjay, dia juga seorang bapa jadi dia amat memahami perasaan Aishwarya.

"Dalam van itu ada katil, peti sejuk mini dan tempat untuk bermain. Anak saya juga turut menemani Aaradhya. Aishwarya seorang ibu yang sangat bertanggungjawab kerana ke mana dia pergi Aaradhya mesti ada bersamanya.

"Dia mahu melihat perkembangan anaknya setiap masa dan tidak mahu Aaradhya rasa terabai dengan kesibukannya," katanya.

Bagi memastikan Aishwarya ada masa untuk keluarganya, filem yang turut dilakonkan Shabana Azmi, John Abraham dan Irrfan Khan tidak melakukan penggambaran pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:00 AM