Tel Aviv: Warga Thailand yang bekerja di sektor pertanian di Israel berdepan pencabulan hak asasi serius, termasuk menerima gaji rendah, waktu kerja berlebihan dan keadaan kerja berbahaya yang mungkin menyumbang kepada beberapa kematian.

Menurut Pertubuhan Human Rights Watch (HRW), keadaan itu berterusan walaupun wujud pembaharuan terhadap proses pengambilan pekerja dengan undang-undang yang menetapkan gaji minimum, waktu kerja terhad dan hak perumahan pada 2011.

Namun ada pelbagai faktor yang menggagalkan pelaksanaannya, seperti proses pemeriksaan yang tidak berkesan, penguatkuasaan lemah dan kegagalan menjatuhkan hukuman terhadap majikan yang melanggar undang-undang.

Thailand sendiri dikritik kerana melanggar peraturan buruh dan pemerdagangan manusia.

Jabatan Negara Amerika Syarikat turut menamakan Thailand sebagai sumber buruh paksa yang paling teruk di dunia.

Menurut HRW, kira-kira 25,000 pekerja Thailand bekerja di sektor pertanian Israel. Seramai 173 pekerja di 10 ladang sekitar Israel mengadu dilayan seperti hamba malah bekerja sehingga 17 jam sehari.

Mereka juga sering sakit kepala, mengalami masalah pernafasan dan rasa terbakar di mata akibat menyembur racun perosak tanpa perlindungan. Keluarga mereka juga terpaksa menghantar ubat dari Thailand kerana mereka tidak diberi rawatan perubatan di Israel.

Kebanyakan pekerja ditempatkan dalam bangsal dilengkapi kemudahan dapur dan kemudahan mencuci baju manakala pekerja dari ladang lain hanya tinggal dalam tempat perlindungan yang diperbuat daripada kadbod.

Menurut jabatan perangkaan antara 2008 hingga 2013, 122 pekerja dilaporkan mati, 65 akibat sakit jantung manakala 22 lagi tidak diketahui sebabnya kerana pihak berkuasa tidak menjalankan bedah siasat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:04 AM