TENTERA Afghanistan  menahan penduduk lelaki yang disyaki pemberontak. FOTO AGENSI
TENTERA Afghanistan menahan penduduk lelaki yang disyaki pemberontak. FOTO AGENSI
AFP

PASUKAN separa tentera Afghanistan yang dibantu Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat membunuh orang awam ketika serbuan waktu malam serta bertanggungjawab terhadap kehilangan sejumlah penduduk yang disyaki pemberontak.

Dakwaan itu terkandung dalam laporan Human Rights Watch (HRW) mengumpul data 14 kes sejak akhir 2017 hingga pertengahan 2019 menyatakan pasukan khas berkenaan meneruskan tradisi itu sejak perang Soviet-Afghanistan pada 1980-an memburu pemberotak, terutama Taliban.

Taktik kejam yang disokong CIA itu didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius seperti yang di wilayah Paktia, tengara Afghanistan apabila pasukan berkenaan membunuh 11 lelaki, termasuk lapan penduduk yang berada dalam rumah menyambut Aidilfitri.

CIA yang membantah laporan HRW menyatakan dakwaan ‘berkemungkinan palsu atau diperbesar-besarkan.’

Dalam beberapa kes dalam kawasan dikawal Taliban, serbuan dibantu serangan udara yang sewenang-wenangnya membunuh orang awam.

Menurut HRW, pasukan itu menahan penduduk lelaki yang disyaki tanpa memberitahu keluarga di mana mereka ditahan.

Menurut data NATO yang dikeluarkan minggu ini, Amerika melakukan 1,113 serangan udara dan ketenteraan pada September, peningkatan besar berbanding bulan sebelumnya.

Pasukan khas Afghanistan itu biasanya meletupkan pintu ketika menyerbu rumah atau bangunan, taktik popular menggabungkan kejutan, senjata canggih dan peralatan pandang waktu malam untuk mengejutkan mangsa.

“Dalam operasi terhadap Taliban, CIA membenarkan pasukan Afghanistan melakukan pembunuhan, termasuk di luar undang-undang dan kehilangan penduduk tanpa dikesan.

“Pasukan itu juga menembak suspek ditahan,” kata Pengarah Bersekutu Asia HRW, Patricia Gossman, yang menyediakan laporan itu.

Jurucakap CIA, Timothy Barrett berkata, agensi itu melaksanakan operasi globalnya ‘mengikut undang-undang dan pengawasan kukuh.’

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) awal bulan ini menyatakan 1,174 orang awam terbunuh manakala 3,139 lagi cedera antara 1 Julai hingga 30 September lalu, peningkatan 42 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 11:35 AM