Ahmad Hasbi

Seremban: Tanpa menghiraukan nyawa seorang wanita yang menunggang motosikal dengan membawa dua anak kecil, seorang penyamun 'berhati kering' apabila meragut mangsa di Taman Bandar Senawang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek yang menunggang motosikal meragut gelang tangan wanita itu, sebelum melarikan diri, pada 12.30 tengah hari.

"Semalam, kami mengesan satu video klip berdurasi 16 saat yang tular di X memaparkan satu kejadian ragut membabitkan seorang wanita.

"Gelang tangan emas dipakai mangsa diragut suspek seorang lelaki yang menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang dan kejadian itu terakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular," katanya, hari ini.

Mohamad Hatta berkata, hasil siasatan, kejadian ketika mangsa seorang wanita berusia 33 tahun bersama dua anak menaiki sebuah motosikal di Jalan Dareca 2.

"Tiba-tiba, datang seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang menunggang Yamaha 125Z berwarna biru meragut gelang emas milik mangsa.

"Suspek kemudiannya melarikan diri. Pengadu bernasib baik kerana berjaya mengawal motosikal dan tidak terjatuh. Mangsa dengan dua anak tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, polis kini memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal Mohd Zaini di talian 013-3611854 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban 06-6033222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 9:05 AM
TANGKAP layar video kejadian seorang wanita diragut suspek menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang. FOTO Ihsan pembaca
TANGKAP layar video kejadian seorang wanita diragut suspek menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang. FOTO Ihsan pembaca