GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Maiamalina Mohamed Amin


TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim memberitahu Dewan Rakyat, cuti paterniti dan penambahbaikan perlindungan bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja antara cadangan dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Beliau berkata, pindaan itu turut mengambil kira cadangan menambah tempoh cuti bersalin dan sistem aturan kerja fleksibel untuk membantu pekerja mendapat bayaran gaji setimpal.

Katanya, ia juga bagi menambah baik standard minimum pekerjaan selaras dengan standard perburuhan di peringkat antarabangsa.

"Selain itu, kementerian bercadang untuk mewujudkan peruntukan baharu berhubung sistem aturan kerja fleksibel di bawah Akta Kerja, bersesuaian dengan pasca Covid-19 yang mana normal baharu akan kita cadangkan.

"Peruntukan akan memperincikan permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikan untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan pekerja, termasuk jam dan hari bekerja serta tempat pekerjaan berdasarkan syarat yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jugah Muyang @ Tambat (Bebas-Lubuk Antu) sama ada kerajaan akan mengkaji undang-undang buruh dan memperbaharui pasaran buruh berikutan hasil kajian yang mencadangkan tenaga kerja di Malaysia tidak menerima bayaran gaji setimpal untuk kerja dilakukan.

Menjawab lanjut, Awang berkata, gaji lantai penjawat awam yang ditetapkan RM1,200 juga akan dicadangkan dalam pindaan akta itu supaya pelaksanaannya diselaraskan di semua agensi kerajaan.

"Ketika ini 56 majlis perbandaran (pihak berkuasa tempatan) sudah melaksanakan gaji minimum ini (RM1,200), yang lain masih menggunakan gaji (minimum) lama RM1,100.

"Kabinet sudah meluluskan (cadangan pindaan) dan akan dibawa ke Parlimen pada sesi (mesyuarat) ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 1:53 PM