TANGKAP layar video tular lelaki OKU fizikal kudung kaki kanan terpaksa menunggu lama selepas rawatan di HSI kerana kenderaannya yang diletakkan di petak parkir OKU di halang kenderaan lain.
TANGKAP layar video tular lelaki OKU fizikal kudung kaki kanan terpaksa menunggu lama selepas rawatan di HSI kerana kenderaannya yang diletakkan di petak parkir OKU di halang kenderaan lain.
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) meletakkan pengawal keselamatan di ruang letak kereta Orang Kurang Upaya (OKU) di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, bagi mengelak isu kenderaan OKU dihalang.

Pengarahnya, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, tindakan itu diambil susulan video tular yang memaparkan pemandu lelaki OKU yang kudung sebelah kaki terpaksa menunggu lama selepas rawatan kerana keretanya dihalang kenderaan lain.

Katanya, hasil siasatan, kejadian 10.10 pagi pada kelmarin di kawasan tempat letak kenderaan awam OKU.

"Lokasi tempat letak kenderaan awam ruang menyediakan kemudahan parkir OKU yang mempunyai sebanyak lapan lot sahaja.

"Pada hari kejadian, waktu rawatan dan rujukan pesakit ke Klinik Pakar Ortopedik yang rata-rata mempunyai hilang keupayaan fizikal.

"Pada awal pagi, semua kemudahan OKU dipenuhi dan diaturkan oleh anggota pengawal keselamatan bertugas di dalam petak khas yang disediakan.

"Namun menjelang tengah hari, anggota yang sama juga perlu mengawal perubahan aliran trafik di laluan keluar Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) berikutan kerja-kerja pembaikan jalan di hadapan Auditorium Sri Selasih bermula 20 Mei 2024 hingga 21 Jun 2024," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohtar, berikutan insiden ini tindakan penambahbaikan segera dilakukan seperti pengaturan serta-merta, yang mana pengawal keselamatan yang bertugas di lokasi parkir OKU memberi tumpuan menguruskan kemudahan terbabit.

Katanya, pengawal keselamatan itu tidak perlu mengawal lokasi lain bagi memastikan parkir OKU yang terhad digunakan oleh individu yang layak serta mengikut keutamaan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 41 saat, memaparkan lelaki OKU yang kudung kaki kanan terpaksa menunggu di luar kenderaan, kerana tidak boleh keluar selepas selesai mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana dihalang beberapa kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:16 AM