PELARIAN Afrika yang ditahan di pusat tahanan pelarian Buraika dekat Aden, Yaman. - Agensi
PELARIAN Afrika yang ditahan di pusat tahanan pelarian Buraika dekat Aden, Yaman. - Agensi
AFP

Dubai: Kakitangan kerajaan Yaman didakwa menyeksa pelarian dari rantau Afrika yang berada di pusat tahanan negara itu, termasuk ada yang dirogol.

Pemantau Hak Asasi (HRW) dalam laporannya berkata, semua pelarian dan pemohon suaka politik itu berdepan risiko diseksa, dirogol dan dihukum bunuh di pusat tahanan di selatan Aden.

Menurut HRW, pelarian yang ditahan di pusat tahanan Buraika sejak awal tahun lalu, dinafikan hak mendapat perlindungan dan sering diusir pulang menggunakan laluan laut yang bergelora.

Kerajaan Yaman dalam maklum balas berhubung perkara itu menyatakan komander pusat tahanan berkenaan sudah disingkirkan, manakala semua pelarian dipindahkan ke pusat tahanan yang lebih baik.

Pengarah Hak Asasi Pelarian HRW, Bill Frelick, berkata pengawal di pusat tahanan di Aden memukul pelarian lelaki dengan kejam, merogol wanita dan budak lelaki.

Menurutnya, pusat itu menahan ratusan pelarian dari Habsyah, Somalia dan Eritrea sejak 2017, namun mulai bulan ini, hanya ada kira-kira 90 pelarian, sebahagian besarnya dari Eritrea, berada di situ.

Kanak-kanak lelaki sering menjadi mangsa rogol pegawai keselamatan yang bertugas di situ.

Seorang bekas pelarian memberitahu HRW, golongan pegawai keselamatan terbabit akan memilih seorang kanak-kanak lelaki setiap malam untuk dirogol.

“Mereka memilih kanak-kanak kecil yang tidak mampu melawan.

“Saya mengenali tujuh daripada mereka yang menjadi mangsa serangan seksual pegawai terbabit.

“Setiap malam saya terpaksa ‘mendengar’ apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:46 AM