KETUA Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kiri) pada sidang media di IPK Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KETUA Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kiri) pada sidang media di IPK Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kes kecurian motosikal yang berlaku di negeri ini kebanyakannya disebabkan kecuaian pemilik yang meninggalkan kunci pada kenderaan itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, perbuatan itu seolah-olah memberi 'sedekah' kepada penjenayah yang sentiasa mencari peluang.

Beliau berkata, terdapat juga kes yang membabitkan kecurian di surau atau masjid apabila pemilik motosikal sengaja membiarkan atau terlupa mengambil kunci pada motosikal masing-masing.

"Adakalanya mereka letakkan motosikal di bawah atau laman rumah bersama kuncinya sekali di situ, dengan tanggapan tiada siapa yang akan mengambil kenderaan itu.

"Jika itu keadaannya, mereka seolah-olah bermurah hati untuk beri 'sedekah' kepada penjenayah.

"Mereka perlu sedar bahawa penjenayah sentiasa akan mengambil peluang. Jadi jangan beri mereka peluang itu dan sentiasa berusaha menjaga harta benda kita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Fisol berkata, statistik semasa menunjukkan kes kecurian motosikal di negeri ini semakin meningkat sehingga menjadi antara penyumbang utama kepada indeks jenayah di Kedah.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 961 kes kecurian motosikal dilaporkan di seluruh negeri ini.

"Daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 320 diikuti Kota Setar sebanyak 245 manakala di Kulim juga berlaku banyak kecurian motosikal yang membabitkan 103 kes.

"Untuk tahun ini pula, setakat 22 Mei lalu, sebanyak 357 kes kecurian motosikal dicatatkan di Kedah dan jumlah itu meningkat berbanding cuma 326 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau memohon kerjasama semua pihak supaya bersama-sama menjaga harta benda masing-masing daripada membuka ruang kepada penjenayah untuk mencuri.

"Jika kita sudah lakukan yang terbaik untuk menyimpan kunci di tempat betul dan kemudiannya berlaku kecurian, itu lain ceritalah.

"Tetapi kalau kita pun macam 'serah diri' untuk membiarkan motosikal dicuri, itu tak sepatutnya berlaku.

"Apabila kita bentang indeks jenayah, timbul kegusaran kepada orang awam kononnya kes jenayah di Kedah tinggi tetapi apabila diteliti lebih mendalam, kes-kes kecuaian sebeginilah yang menyumbang kepada banyaknya kecurian motosikal di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:19 AM