GLASIER Khumbu di Gunung Everest. FOTO AFP
GLASIER Khumbu di Gunung Everest. FOTO AFP
AFP

Kathmandu: Dua pendaki, masing-masing warga Kenya dan Nepal mati berhampiran puncak Gunung Everest, kata pegawai pelancongan pada Khamis, menjadikan jumlah korban gunung tertinggi di dunia pada musim pendakian tahun ini kepada sekurang-kurangnya empat.

Lelaki Kenya, Joshua Cheruiyot Kirui, 40, dan jurupandu warga Nepal, Nawang Sherpa, 44, terputus hubungan pagi Rabu dan pasukan mencari dikerahkan di gunung setinggi 8,849 meter (m) itu.

"Pasukan pencarian menemukan pendaki Kenya itu mati di antara puncak dan Hillary Step, tetapi jurupandu masih hilang," kata Ketua Pejabat Lapangan Jabatan Pelancongan di Kem Induk, Khim Lal Gautam, kepada AFP.

Seorang lagi pendaki Nepal, Binod Babu Bastakoti, 37, meninggal dunia pada ketinggian kira-kira 8,200 m pada Rabu, kata kenyataan jabatan pelancongan.

Pihak mencari juga masih mencari pendaki Britain berusia 40 tahun bersama jurupandu Nepal yang hilang pagi Selasa, selepas salji runtuh ketika mereka turun dari puncak Everest.

Seorang pendaki Romania meninggal dunia di dalam khemahnya pada Isnin lalu semasa usaha mendaki Lhotse, gunung keempat tertinggi di dunia.

Everest dan Lhotse berkongsi laluan yang sama sehingga ia melencong ke arah lain pada ketinggian kira-kira 7,200 m.

Dua pendaki Mongolia pula hilang bulan ini selepas tiba di puncak Everest dan kemudian ditemukan mati.

Dua lagi pendaki, seorang Perancis dan seorang Nepal, meninggal dunia musim ini di Makalu, puncak kelima tertinggi di dunia.

Nepal mengeluarkan lebih 900 permit untuk aktiviti pendakian gunungnya tahun ini, termasuk 419 untuk Everest, sekali gus memperoleh lebih daripada AS$5 juta (kira-kira RM23.57 juta) dalam bentuk royalti.

Lebih 600 pendaki berjaya mendaki puncak Everest tahun lepas tetapi ia juga adalah musim paling dahsyat di gunung itu, dengan 18 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:54 AM