Bernama-Xinhua

New York: Pelanggaran undang-undang buruh kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan beberapa syarikat dan jenama terkenal dalam kalangan pengguna dikesan menggaji kanak-kanak untuk melakukan kerja berbahaya dan meletihkan, lapor Xinhua memetik CNN pada Ahad.

"Pasaran buruh yang terbuka luas mendorong kebanyakan majikan mencari tenaga kerja tersedia pada gaji paling murah, malah Ahli Parlimen mendesak rang undang-undang yang akan mengehadkan perlindungan undang-undang ke atas pekerja bawah umur," menurut laporan itu.

Di 16 lokasi, beberapa restoran francais di Louisiana dan Texas, kanak-kanak seawal 14 tahun mengendalikan "peralatan berbahaya dan bekerja lama dan lewat", kata Jabatan Buruh AS (DOL) pada akhir Julai.

Pada Mei, jabatan itu mendapati dua kanak-kanak berumur 10 tahun bekerja sehingga selewat-lewatnya 2 pagi tanpa dibayar upah.

Antara 1 Oktober 2022 dan 20 Julai, DOL menyelesaikan 765 kes buruh kanak-kanak dan mendapati 4,474 kanak-kanak diambil bekerja yang melanggar undang-undang buruh kanak-kanak persekutuan dan mengenakan denda lebih US$6.6 juta terhadap majikan.

Terdapat peningkatan sebanyak 44 peratus bilangan kanak-kanak yang diambil bekerja secara haram dan 87 peratus jumlah penalti berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini, menurut jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:14 PM