PHUNJO Lama. FOTO AFP
PHUNJO Lama. FOTO AFP
AFP

Kathmandu: Wanita warga Nepal, Phunjo Lama, semalam memecahkan rekod untuk pendakian terpantas Gunung Everest oleh seorang wanita, apabila menakluki gunung tertinggi di dunia itu dalam masa 14 jam dan 31 minit.

Pendaki biasanya mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,849 meter (29,000 kaki), menghabiskan malam di kem yang berbeza untuk berehat dan menyesuaikan diri.

Tetapi Lama, yang berusia 30-an itu memintas lebih 11 jam daripada prestasi terbaik sebelum ini yang dicatatkan sejak 2021. Ini bermakna dia merampas semula rekod dunia diciptanya sendiri.

"Dia bermula dari kem induk pada 3.52 petang pada 22 Mei dan berada di puncak 6.23 pagi 23 Mei," kata Ketua Pejabat Lapangan Jabatan Pelancongan Base Camp, Khim Lal Gautam kepada AFP.

Awal bulan ini, ketika Lama masih berada di kem induk, dia berkata dalam catatan di Facebook (FB) bahawa dia "100 peratus pasti" dia akan mencapai puncak "the Mother Goddess".

Pada 2018, Lama merangkul rekod pendakian terpantas seorang wanita dengan mendaki Gunung Everest dalam masa 39 jam dan enam minit.

Rekod itu dipecahkan pada 2021 oleh Ada Tsang Yin-hung dari Hong Kong, yang menakluki gunung itu dalam masa 25 jam dan 50 minit.

Pendaki Nepal, Lhakpa Gelu pula memegang rekod pendakian terpantas Everest, mencapai puncak dalam masa 10 jam dan 56 minit pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:12 AM