Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Harapan Datuk Nicol David meraih kejuaraan sulung tahun ini berkecai apabila tumpas kepada pemain England, Alison Waters pada suku akhir Kejohanan Juara-Juara JP Morgan awal pagi semalam.

Nicol yang juga juara bertahan, terpaksa akur dengan kehebatan pemain pilihan kelima itu apabila tumpas 9-11, 12-10, 7-11, 1-11 di gelanggang kaca Grand Central Terminal, Manhattan.

Perlawanan semalam berlangsung selama 56 minit dan kekalahan itu adalah yang pertama buatnya di kejohanan luar Malaysia sejak Terbuka Britain 2013.

Kemenangan Alison itu menyaksikan dia bertemu pemain Mesir, Nour El Sherbini hari ini.

Pemain pilihan keempat itu berjaya mengatasi rakan senegara, Nour El Tayeb 11-5, 10-12, 11-3, 12-14,11-9 dalam perlawanan yang berlangsung sengit selama sejam lima minit.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan antara naib juara tahun lalu, Laura Massaro dari England dan seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily.

“Nicol tidak mempamerkan permainan terbaik. Dia juga kelihatan penat dan saya berusaha keras untuk menang. Skuasy adalah permainan yang memerlukan kekuatan mental,” kata Alison.

Kekecewaan Nicol, yang juga pemain nombor satu dunia diharap mampu ditebus menjelang Kejohanan Cleveland Classic minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 7:33 AM