PEMAIN Johor DT, Mohamad Fandi Othman (kanan) diasak pemain JDT III.
PEMAIN Johor DT, Mohamad Fandi Othman (kanan) diasak pemain JDT III.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak mengesahkan sudah menerima surat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melarang Gary Steven Robbat meneruskan latihan bersama skuad kendaliannya itu sepanjang tempoh penggantungan tiga bulan.

Pengendali dari Croatia itu berkata, berikutan penggantungan berkenaan, Gary hanya menjalani latihan secara bersendirian dan beliau tetap memberikan sokongan kepada pemain itu bagi mengelak emosinya terjejas.

Hodak menerima surat itu, disampaikan pegawai Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang terpaksa pergi ke ibu pejabat FAM di Kelana Jaya untuk mengambilnya selepas tamat aksi persahabatan antara Johor DT dengan Johor DT III di Padang Seri Gelam, kelmarin.

“Nampaknya Gary akan menjalani latihan bersendirian dan saya akan terus beri sokongan moral kepadanya. Dimaklumkan dia akan membuat rayuan kepada FAM dan saya harap masalah itu dapat diselesaikan segera.

“Apapun, perancangan Johor DT untuk mengharungi saingan awal Liga Super tidak terjejas tanpa kelibat Gary dan saya sudah membuat persiapan rapi sebaik pemain itu dijatuhkan hukuman gantung tiga bulan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Status Datuk Takiyuddin Hassan, baru-baru ini mengesahkan Gary dilarang terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama 90 hari. Malah, pemain kebangsaan itu tidak mempunyai sebarang ikatan bersama Johor DT kerana kontrak ditandatanganinya pada 21 November lalu dianggap tidak sah.

Mengulas persiapan skuad Harimau Selatan, Hodak menegaskan, Asraruddin Putra Omar yang semakin pulih daripada kecederaan diberi peluang beraksi pada 10 minit terakhir aksi persahabatan kelmarin.

Katanya, pemain bek kiri itu diturunkan namun dia belum bersedia beraksi untuk tempoh lebih lama kerana bimbang kecederaan dialaminya itu berulang.

“Latihan pramusim di Australia nyata memberi kesan kepada pemain apabila semua menunjukkan kematangan walaupun perlu menjalani latihan yang agak keras.

“Safiq Rahim juga menunjukkan aksi menarik selepas pulih daripada kecederaan dan memudahkan tugas saya membentuk barisan mantap menentang Pahang, 31 Januari ini,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:11 AM