Ibarat menunggu buah yang tidak gugur.

Peribahasa ini mungkin sesuai buat penyanyi ini yang sebelum ini mencanang dia bakal mengeluarkan cakera padat digital (DVD) dan video cakera padat (VCD) yang dirakam di konsertnya.

Ketika konsertnya yang berlangsung beberapa tahun lalu itu, dia membuat pengumuman kepada penonton bahawa rakaman konsert itu dikeluarkan dalam bentuk DVD dan VCD.

Namun, hingga hari ini DVD dan VCD konsert berkenaan langsung tidak dikeluarkan dan SS sendiri tidak tahu apa sudah jadi dengan rakaman konsert itu.

Penyanyi itu pula sejak hari itu hinggalah hari ini langsung tidak lagi menyebut perkara itu.

Jika perkara sebegini berlaku, SS agak masalahnya sudah tentulah membabitkan kewangan atau rakaman itu bermasalah dan mungkin tidak mencapai standard yang dimahukannya.

Namun, rakaman secara amatur menggunakan telefon bimbit yang dilakukan penonton di konsert itu 'bersepah' di YouTube.

SS tak tahulah, agaknya penyanyi itu bengang kerana peminat sesuka hati merakam konsert berkenaan dan memuat naik di YouTube hingga konsert itu tidak menjadi eksklusif lagi.

SS: Sudah lama tak beli DVD atau VCD kerana segala-galanya sudah ada di Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:01 AM