Mesin judi yang dilupuskan.
Mesin judi yang dilupuskan.
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melupuskan 5,331 rampasan mesin judi dan peralatan elektronik berkaitan kes judi siber yang berjaya diselesaikan, hari ini.

Selain itu, polis turut melupuskan cakera padat video ( VCD) dan cakera padat digital ( DVD) bernilai keseluruhan RM480,000 susulan daripada serbuan terhadap premis judi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua barangan yang dilupuskan adalah hasil rampasan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dalam tempoh 2011 sehingga 2018.

Katanya, semua barang rampasan itu membabitkan 32 kertas siasatan dan 105 tangkapan melibatkan 79 lelaki dan 26 wanita.

"Sebahagian besar suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Jumlah keseluruhan rampasan ialah 5,331 item termasuk peralatan komputer seperti monitor, papan kekunci serta komputer riba bernilai RM480,000," katanya ketika Majlis Pelupusan Barang Kes di Stor Barang Kes Berpusat IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya turut melakukan pelupusan sebanyak 18,228 keping VCD dan DVD cetak rompak termasuk lucah yang dirampas polis bernilai RM91,140.

"Semua rampasan ini adalah hasil 21 kertas siasatan membabitkan 26 tangkapan termasuk empat wanita warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada penjual serta pembekal di dalam premis serta tepi jalan dan sebagainya," katanya.

Habibi berkata, 14 daripada suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 18(4)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Katanya, kesalahan itu membabitkan memiliki serta menjual VCD dan DVD tanpa perakuan sijil B kepada orang ramai serta Seksyen 5(1)(a) kerana memiliki DVD dan VCD lucah.

"Semua barang kes yang dilupuskan ini sudah mendapat kebenaran mahkamah untuk pelupusan.

"Pelupusan barangan menggunakan kaedah E-Waste sejajar prosedur Jabatan Alam Sekitar yang lebih selamat dan sesuai dengan konsep hijau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:15 PM