ARIFAI (tiga dari kiri) melihat proses pelupusan VCD dan DVD hari ini. FOTO Amirudin Sahib.
ARIFAI (tiga dari kiri) melihat proses pelupusan VCD dan DVD hari ini. FOTO Amirudin Sahib.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 14,993 cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) yang dirampas dalam tempoh 10 tahun dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Semua DVD dan VCD bernilai RM74,965 itu hasil rampasan pada 2011 hingga 2019 di sekitar gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pelupusan dibuat selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Gombak, menerusi 29 kertas siasatan yang dibuka.

"Semua VCD dan DVD berkenaan didapati tidak mempunyai Sijil B dan semua pesalah sudah dijatuhi hukuman masing-masing.

"Antara VCD dan DVD yang dimusnahkan adalah yang cetak rompak dan lucah," katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Majistret Daerah Gombak, Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Arifai berkata, pihaknya turut melupuskan peralatan seks sebanyak 521 yang dirampas pada 2016 dan ia akan dimusnahkan di pusat pembakaran di Serendah hari ini.

"Pelupusannya akan dipantau Jabatan Alam Sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 12:40 PM