HAZIQ bersama isteri dan anak-anak. FOTO IG
HAZIQ bersama isteri dan anak-anak. FOTO IG
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni, 30, sedih apabila dua anaknya Muhammad Heidy Nufael, 4, dan Chayra Auliya, 3 dimasukkan sebuah hospital di Shah alam akibat jangkitan virus pada paru-paru.

Haziq atau nama sebenar Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni berkata anak-anaknya mula mengalami demam, selsema dan batuk sejak seminggu lalu sebelum disahkan mengalami jangkitan itu. 

Reda dengan dugaan itu, dia dan isterinya Ayunda Putri bersyukur mereka sekeluarga negatif keputusan ujian saringan Covid-19.

"Seminggu anak-anak saya mengalami demam, selsema dan batuk. Selepas buat pemeriksaan, doktor sahkan ada virus pada bahagian paru-paru.

"Hari ini sudah masuk hari kedua kami di hospital. Saya dan isteri teman anak-anak di hospital. Kami sudah pun menjalani ujian saringan terlebih dahulu untuk dibenarkan berbuat demikian.

"Alhamdulillah semua keputusan saringan Covid-19 kami, termasuk anak-anak pun negatif," katanya.

Dalam pada itu, Haziq memaklumkan keadaan anak-anaknya masih dalam pemantauan doktor dan mereka juga diberikan antibiotik selama empat hari.

Terdahulu, Haziq berkongsi foto tangan dua orang anaknya memakai gelang hospital menerusi Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:16 PM