MARCHAND ketika beraksi dalam acara final 200m rampaian individu lelaki. FOTO Reuters
MARCHAND ketika beraksi dalam acara final 200m rampaian individu lelaki. FOTO Reuters
AFP

Fukuoka: Bintang renang Perancis, Leon Marchand meraih emas ketiganya dalam kejuaraan dunia, manakala Kyle Chalmers dari Australia menyebabkan sensasi Romania, David Popovici pulang dengan tangan kosong.

Marchand meraih emas dalam acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki dengan mencatat masa 1 minit 54.82 saat (s), mengatasi dua perenang Britain, Duncan Scott (1:55.95s) dan Tom Dean (1:56.07s).

Marchand meneruskan penguasaannya di Fukuoka, dengan sebelum ini meraih emas dalam acara 400m rampaian individu dan 200m kuak kupu-kupu.

Perenang berusia 21 tahun itu bakal menjadi salah seorang wajah Olimpik Paris tahun depan dan berkata dia percaya boleh terus meningkat sebelum temasya berkenaan.

"Saya fikir jika saya boleh bermula dengan lebih pantas, ita mampu dilakukan kerana renangan kuak kupu-kupu dan gaya bebas sudah cukup bagus," katanya.

"Dalam gaya bebas, saya tidak mempunyai sedikit kekuatan ketika menamatkan renangan tetapi saya fikir perlu juga memperbaiki kuak kupu-kupu dan kuak lentang untuk saya perlu pergi lebih pantas."

Chalmers meneruskan persembahan mengagumkan dalam acara 100m gaya bebas lelaki, manakala rakan senegara, Kaylee McKeown memungut emas dalam acara 50m kuak lentang wanita.

Chalmers mencatat masa 47.15s untuk menamatkan saingan di hadapan Jack Alexy dari Amerika Syarikat (47.31s) dan perenang Perancis, Maxime Grousset (47.42s).

Kaylee, yang turut memenangi acara 100m kuak lentang, menamatkan renangan dengan catatan 27.08s untuk mengalahkan wakil Amerika Syarikat, Regan Smith (27.11s) dan perenang Britain, Lauren Cox (27.20s).

Sementara itu, Summer McIntosh mempertahan kejuaraan 200m kuak kupu-kupu wanita.

Perenang Kanada berusia 16 tahun itu mencatat masa 2:04.06s di depan Elizabeth Dekkers dari Australia (2:05.46s) dan wakil Amerika Syarikat, Regan Smith (2:06.58s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 10:31 PM