TAMAN Negara Puerto Princesa diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.
TAMAN Negara Puerto Princesa diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.
PENGINAPAN bagai impian di Sheridan Resort, Sabang.
PENGINAPAN bagai impian di Sheridan Resort, Sabang.
CENDERAMATA tempatan dijual di merata tempat.
CENDERAMATA tempatan dijual di merata tempat.
TELUK Honda sesuai untuk aktiviti berenang dan menyelam.
TELUK Honda sesuai untuk aktiviti berenang dan menyelam.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Percutian di atas kapal persiaran mewah Star Cruises SuperStar Aquarius satu pengalaman indah yang sukar diterjemah dengan kata-kata.

Berpangkalan di Kota Kinabalu, Superstar Aquarius melakukan pelayaran di pantai Sabah dan berlabuh di Puerto Princesa, Filipina sejak awal November tahun lalu hingga 1 Mac depan bagi memberi peluang penumpang menikmati panorama semula jadi di sekitar Pulau Palawan.

Bandar itu kaya dengan alam semula jadi, pantai yang indah, kawasan terumbu karang dan tumbuh-tumbuhan unik serta keramahan penduduknya pasti meninggalkan memori kepada pelancong.

Di Puerto Princesa juga, pelbagai cenderamata buatan tempatan dijual pada harga berpatutan, sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan pelancong asing dan domestik.

Terletak di tengah bahagian jalur panjang wilayah Pulau Palawan berkeluasan 1.7 juta hektar itu, bandar mempunyai populasi 160,000 orang ini adalah destinasi pelancongan utama dan berbaloi dikunjungi.

Selain membeli-belah dan menyelusuri bandar, pengunjung boleh ‘mencuri’ masa untuk menikmati pemandangan indah dan keajaiban semula jadi di pulau yang mempunyai pasir putih selain terumbu karang dan tumbuh-tumbuhan subur.

Bagi penyelam yang mahu menikmati keindahan dunia laut dan bersantai di tepi pantai, Teluk Honda adalah destinasi pelancongan perdana di Pulau Palawan yang membabikan beberapa pulau kecil, antaranya Pulau Pambato, Pandan, Cowrie, Starfish dan Lu-li.

Mengambil masa sejam perjalanan dari Puerto Princesa menaiki van, penulis dibawa menaiki bot khas dengan bayaran 1,300 peso atau kira-kira RM97 yang memuatkan enam penumpang untuk ke Teluk Honda.

Teluk Honda sesuai untuk aktiviti berenang dan menyelam kerana perairannya cetek dan mempunyai banyak kawasan terumbu karang unik yang memukau pandangan.

Satu daripada tempat menyelam yang terkenal adalah Pulau Pandan yang mempunyai terumbu karang yang cantik dan mudah dilihat kerana air lautnya jernih kebiruan.

Selepas penat mengembara di dasar laut, tidak lengkap jika tidak merasai masakan makanan laut di Pulau Pandan yang dimasak oleh penduduk tempatan, termasuk sayur segar dan buah-buahan tempatan.

Harganya tidak mengecewakan, malah pengunjung boleh berkelah dan menjamu selera di dalam deretan pondok disediakan khas di pesisir pantai berkenaan.

Sebelum menamatkan ‘percutian’ di Teluk Honda, pengunjung boleh berehat sebentar di Pulau Cowrie yang menyediakan restoran dan perkhidmatan urutan badan serta kaki selain aktiviti rekreasi air.

Bagi pengembara, ada beberapa tempat dan khazanah alam untuk diterokai, termasuk Taman Negara Puerto Princesa yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan satu daripada tujuh keajaiban dunia.

Keindahan semula jadi taman yang terpelihara seperti hutan, pantai berpasir putih, pelbagai spesies hidupan liar dan dunia gua dengan serangkaian batu kapur yang menakjubkan, jelas menggambarkan agungnya ciptaan Ilahi.

Di taman negara ini ada sungai bawah tanah yang dikatakan terpanjang di dunia dengan jarak 8.2 kilometer dan mengalir terus ke Laut China Selatan.

Dari pengembaraan itu, penulis diberi peluang bermalam di Sheridan Resort, Sabang terletak tidak jauh dari Taman Negara Puerto Princesa dilengkapi kemudahan bilik menghadap pantai dengan desiran angin laut dan bilik yang menjanjikan keselesaan juga mimpi indah.

Bagi mereka yang mencari hadiah dan cenderamata tempatan unik, pastikan anda melawat pasar lambak dan akan mendapati banyak barangan perhiasan diri yang menarik seperti mutiara air tawar, kraftangan dan pakaian tradisional Filipina.

Dengan banyak destinasi boleh dilawati, wilayah Pulau Palawan semestinya lokasi percutian yang sempurna dan destinasi pelayaran ideal untuk pelancong dari pelbagai peringkat usia.

Menyedari hakikat itu, Star Cruises menawarkan jadual pelayaran baru selama empat hari tiga malam dari Kota Kinabalu, Sabah ke Puerto Princesa. Kapal persiaran SuperStar Aquarius 13 tingkat itu menjanjikan kembara mewah dan selesa, malah pelancong tidak akan berasa bosan sepanjang pelayaran yang dipenuhi dengan aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:02 AM