ANTARA terumbu karang yang ditemui. FOTO HASSAN OMAR
ANTARA terumbu karang yang ditemui. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


PENYELAM profesional Jabatan Perikanan Putrajaya tidak menyangka apabila mendapati perairan sekeliling Pulau Besar di Melaka, kaya dengan terumbu karang yang indah.

Malah keindahannya tidak kalah dengan terumbu karang di perairan pantai timur Sabah seperti Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau, serta pantai timur Semenanjung seperti Pulau Tioman di Pahang.

Perkara itu diakui tujuh penyelam terbabit ketika menyertai ekspedisi menyelam di perairan berhampiran Pulau Besar bagi mengenal pasti jenis terumbu karang di lokasi itu.

Program berkenaan diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim dalam usaha menjadikan Pulau Besar dan Pulau Undan sebagai Taman Laut Negara.

Salah seorang penyelam, Ahmad Ikhwan Muftaruddin, 38, berkata, dia sebelum ini kagum dengan keindahan terumbu karang di perairan Sabah dan Pahang namun terkejut apabila Melaka turut memiliki khazanah sama.

"Saya tidak sangka perairan Pulau Besar mempunyai batu karang yang indah. Saya tidak perlu menyelam di di kawasan dalam, cukup di kawasan sedalam satu meter untuk menemui batu karang cantik.

"Ada batu karang yang wujud dalam kelompok yang besar dan luas," katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Zaki Zakaria, 37, berkata, dia sukar mempercayai perairan Pulau Besar memiliki terumbu karang jenis lembut kerana kebanyakan batu karang seumpama itu hidup di perairan dalam.

"Kebanyakan batu karang itu dalam keadaan baik dan ada juga yang sudah rosak kerana berada hampir dengan permukaan laut yang menyebabkan ia terkena pancaran matahari," katanya.

Gugusan Pulau Besar mempunyai sembilan pulau, iaitu Pulau Besar, Hantu, Serimbun, Lalang, Dodol, Nangka, Hanyut, Burung dan Undan tetapi hanya Pulau Besar sudah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 3:54 PM