ANTARA penyelam skuba di bawah program F&N SOS.
ANTARA penyelam skuba di bawah program F&N SOS.
PELAJAR Sekolah Kebangsaan Pulau Redang gembira mengikuti aktiviti anjuran F&N SOS.
PELAJAR Sekolah Kebangsaan Pulau Redang gembira mengikuti aktiviti anjuran F&N SOS.
PERUSAHAAN bot pelancongan antara faktor kepincangan
PERUSAHAAN bot pelancongan antara faktor kepincangan
 LATIHAN dalam kumpulan membolehkan pelajar sekolah bertukar pendapat mengenai pemuliharaan alam sekitar di Pulau Redang.
LATIHAN dalam kumpulan membolehkan pelajar sekolah bertukar pendapat mengenai pemuliharaan alam sekitar di Pulau Redang.
 KARANG yang tertentu saja diikat pada rangka PVC.
KARANG yang tertentu saja diikat pada rangka PVC.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Air laut yang biru jernih dan menghijau serta kaya dengan khazanah kehidupan laut begitu mempesonakan. Keindahan alam sekitar di kawasan pulau ini mendamaikan dengan pantai yang memutih. Tidak hairanlah apabila Pulau Redang, Terengganu mendapat jolokan syurga dunia.

Pulau itu sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing untuk melakukan aktiviti selam snorkel dan skuba.

Meskipun kedatangan pelancong membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang bergantung kepada aktiviti penangkapan ikan, Jabatan Laut sentiasa memantau bagi memastikan hidupan marin di Pulau Redang terpelihara untuk tempoh jangka panjang.

Justeru, aktiviti menang­kap ikan dilarang dalam ling­kungan tiga hingga empat kilometer di sekitar pulau ini dan aktiviti penangkapan haiwan marin tidak dibenarkan termasuk mengutip terumbu karang dan hidupan marin lain.

Penguatkuasaan ini bagi mengekalkan spesies hidupan marin yang kini di ambang kepupusan, apatah lagi perubahan iklim dunia serta tekanan luaran yang menyebabkan persekitaran marin terancam terutamanya terumbu karang.

Program pindah tanam karang dipelopori Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) adalah sebahagian inisiatif pemulihan terumbu karang membabitkan Reef Check Malaysia dan Taman Laut Terengganu.

Ia dijalankan sempena kempen 'Selamatkan Laut Kita' (SOS) bagi menjana semula jumlah terumbu karang di kawasan yang me­ngalami kerosakan.

Inisiatif tiga tahun pemulihan terumbu karang itu kini menunjukkan hasil memberangsangkan dengan pertumbuhan semula pelbagai jenis karang di terumbu buatan manusia.

Struktur kompleks tiga dimensi sudah mula meliputi batang paip polivinil klorida (PVC) yang dijadikan sebagai tukun tiruan manakala ikan menggunakan 110 rangka itu sebagai tapak semaian selain pelbagai tumbuhan organik membiak di sekitarnya Ia membuktikan kadar kelangsungan hidup meningkat daripada 53 peratus sehingga 75 peratus di tiga tapak semaian di Pulau Paku Kecil, Pulau Pinang dan Terumbu Kili.

Kejayaan penyelam melakukan 130 selam skuba sejak pelancaran program itu pada 2012 turut diraikan.

Sebanyak 20 tukun tiruan ditanam bagi mencapai sasaran 130 rangka sempena ulang tahun ke-130 jenama terbabit di pasaran negara. Usaha ini dilakukan dengan bantuan pakar dan tunjuk ajar daripada Reef Check Malaysia.

Sebagai struktur tunggal terbesar di dunia yang terbentuk daripada organisma hidup, terumbu karang menjadi kediaman kepada satu perempat hidupan marin termasuk lebih 4,000 spesies ikan, 700 spesies karang dan pelbagai tumbuhan dan haiwan laut.

Memandangkan kadar pertumbuhannya hanya beberapa sentimeter setahun, kesedaran perlu dipertingkatkan untuk melindungi khazanah alam semula jadi ini daripada kemusnahan.

Pengarah Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas F&N, Datuk Ng Jui Sia berkata, F&N menggalas tanggungjawab korporatnya untuk me­ngurangkan kesan operasi ke atas alam sekitar dengan melaksanakan pelbagai program pemulihan secara aktif.

"Kami percaya program ini mampu mencetuskan lebih banyak inisiatif dan sumbangan ke arah memelihara syurga indah kehidupan laut untuk tatapan generasi akan datang.

"Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, saya berharap program kesedaran ini sebagai batu loncatan kepada ekosistem di Pulau Redang ke arah lebih positif," katanya.

Kelahiran F&N SOS yang diilhamkan beliau adalah hasil pemerhatian terhadap berleluasanya aktiviti manusia meliputi pelancongan tanpa batasan ke kawasan pulau, sikap penyelam skuba yang menyentuh dan memetik karang, sikap tamak nelayan yang menangkap hidupan marin berlebihan dan pembangunan di kawasan pantai.

Kakitangan dan rakan niaga F&N menyelam ke dasar laut sepanjang tiga tahun lalu bagi melaksanakan inisiatif pemulihan terumbu karang di pulau ini bagi membaik pulih ekosistem laut kepada keadaan asalnya.

Ini membabitkan pengutipan serpihan karang daripada tapak penderma dan menanamnya semula di tapak semaian untuk membolehkannya stabil dan tumbuh sebelum berpindah ke tapak kekal.

Jika berjaya dibiarkan, keindahan Pulau Redang pasti dapat dikekalkan sebagai salah sebuah pulau tercantik di dunia dengan pelbagai hidupan laut de­ngan terumbu karang yang membentuk syurga dunia di bawah laut membiru.

F&N SOS turut meningkat­kan kesedaran masyarakat tempatan, pe­ngusaha pusat peranginan, pelancong dan sekolah me­ngenai tanggungjawab bersama terhadap pemuliharaan laut menerusi pelupusan bahan buangan dan amalan kitar semula.

Kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Pusat Peranginan Kepulauan Redang dipertingkatkan dengan penyediaan 60 tong bahan kitar semula, edaran poster dan risalah yang mendidik masyarakat menggalakkan amalan kitar semula dan memelihara persekitaran Taman Laut Pulau Redang.

Aktiviti menarik melalui penganjuran program sehari bersama 40 pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Redang membuka minda generasi muda mengenai kepentingan ekosistem laut.

Mereka dididik mengenai peranan yang boleh dimainkan bagi menjaga keselamatan terumbu karang dan hidupan laut menerusi tindakan mesra alam.

Jelas, mereka sudah di dedahkan betapa pentingnya memelihara hidupan marin, malah pembelajaran dalam kumpulan mencuri tumpuan dengan mengasah bakat pelajar dalam seni lukis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:02 AM