Surabaya: Hanya tinggal satu kapal dari China yang kini membantu pihak berkuasa Indonesia mencari baki mayat pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Pengarah Operasi Badan SAR Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo berkata, dari puluhan kapal hanya tinggal satu kapal asing yang membantu pencarian mayat mangsa.

"Hanya tinggal kapal dari China. Kapal bantuan negara lain sudah ditarik," katanya.

Bambang berkata, kapal milik tentera China itu diletakkan di kawasan tambahan.

“Sebelum ini hanya lima kawasan, hari ini BASARNAS menambah kawasan pencarian menjadi enam.

“Penambahan kawasan ini berikutan penemuan mayat dan serpihan pesawat oleh nelayan di kawasan sekitar Laut Maradapan, Kotabaru, Kalimantan Selatan,” katanya.

Menurutnya, di lokasi pencarian ketika ini, sepuluh kapal Indonesia masih melakukan pencarian iaitu KRI milik Tentera Nasional Indonesia (TNI), kapal milik BASARNAS, kapal milik Jabatan Perhubungan Laut dan kapal milik lembaga pemerhati.

“Seluruh kapal ini disediakan bersama penyelam dari TNI Angkatan Laut, BASARNAS dan organisasi penyelam profesional.

“Pasukan penyelam terus melakukan pemerhatian dasar laut untuk memastikan masih ada mayat penumpang dalam pesawat. - VIVAnews

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:38 PM