Oleh Fardy Bungga

Jakarta: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) menegaskan operasi pencarian mayat dan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 tidak dihentikan sebaliknya hanya direhatkan selama dua hari untuk memberi kesempatan kepada krew pencarian berehat.

Ketua Pasukan BASARNAS Henry Bambang Soelistyo berkata, aset-aset seperti kapal pencarian dan pasukan penyelam sentiasa bersiap sedia memulakan pencarian sebaik menerima arahan.

Menurutnya, walaupun Tentera Nasional Indonesia (TNI) memutuskan untuk menarik balik aset mereka tetapi ia tidak menjejaskan operasi pencarian yang dijalankan BASARNAS.

“Kita masih mempunyai aset untuk digunakan dalam operasi ini antaranya dua helikopter dan sebuah pesawat milik AirAsia melakukan penghantaran.

“Kita juga mempunyai empat kapal dan selain itu, Ketua Daerah Kotawaringin juga ada menyediakan kapal tongkang bersama penyelam untuk membantu operasi pencarian,” katanya.

Menurutnya, kawasan pencarian tahap kedua ini masih ditumpukan di sembilan koordinat yang sudah dikenal pasti sebelum ini dengan tambahan beberapa lokasi yang belum pernah ditinjau.

“Setakat ini tidak kurang daripada 45 penyelam sudah bersiap sedia diturunkan.

“Seramai 20 daripada penyelam ini berstatus profesional kerana ditugaskan mencari kawasan minyak di dasar laut manakala selebihnya adalah penyelam tradisional yang menawarkan diri untuk membantu” kata. - Detik News.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:33 AM