Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Tai Beng Hai bersedia bekerjasama dengan Neil Hawgood selepas bekas pemain antarabangsa Australia itu dilantik perunding skuad negara kelmarin.

Jelas Beng Hai, kerjasama itu akan bermula daripada pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura, 17 hingga 25 Januari ini.

“Memang dari awal lagi MHC mempunyai perancangan melantik jurulatih asing atau perunding bagi skuad negara selepas (Paul) Revington meletak jawatan.

“Berikutan kehadirannya selaku perunding, Hawgood mungkin dapat menilai prestasi skuad negara di Liga Hoki Dunia nanti.

“Selepas itu, beliau mungkin boleh mengemukakan cadangan apakah kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui sebelum bertolak ke Singapura, semalam.

Beng Hai berkata, perlantikan Hawgood selaku perunding perlu dilihat daripada sudut positif.

“Bermakna MHC sememangnya mempunyai perancangan dalam struktur kejurulatihan negara termasuk pasukan remaja,” katanya.

Secara peribadi, Beng Hai berkata, beliau mengenali Hawgood hampir 10 tahun lalu.

“Beliau pernah bekerja di bawah jurulatih berkaliber seperti Ric Charlesworth sebelum berhijrah ke luar negara.

“Tugasan terakhirnya bersama skuad hoki wanita India. Mungkin dia boleh memberikan idea baru kepada arena hoki negara pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:25 AM