BENG Hai (kiri) memantau  sesi latihan pemain hoki negara.
BENG Hai (kiri) memantau sesi latihan pemain hoki negara.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Keputusan ini dibuat bagi memastikan persiapan skuad negara tidak terjejas.”

Demikian pandangan bekas bekas Setiausaha Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang dulunya dikenali Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Maninderjit Singh berhubung keputusan badan induk itu melantik Tai Beng Hai selaku ketua jurulatih tetap sekali gus menukar status jurulatih sementara yang dipikulnya sebelum ini.

Jelas Maninderjit, MHC sememangnya tiada pilihan lain selain perlu mengekalkan Beng Hai serta mengubah sedikit struktur kejurulatihan skuad kebangsaan bagi memastikan persiapan skuad negara tidak terganggu menjelang saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bermula 20 Jun depan.

“Semua ini berlaku berikutan kelewatan MHC mengadakan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) serta pelbagai isu lain yang berlaku, terutama pada tahun lalu.

“Apabila ini berlaku, MHC tidak dapat membuat keputusan jangka masa panjang. Mahu tidak mahu, struktur kejurulatihan sedia ada perlu dikekalkan,” katanya kepada Arena Metro.

Bagaimanapun, Maninderjit yang sering menegur MHC percaya Beng Hai serta pembantunya Nor Saiful Zaini Nasiruddin mampu melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka berdua di Belgium nanti.

“Sebab peluang kita untuk layak ke Sukan Olimpik sememangnya cukup cerah,” katanya.

Beliau juga mengingatkan MHC supaya menyediakan dua pelan selepas berakhir Liga Hoki Dunia, iaitu apakah perancangan badan induk itu sekiranya skuad negara layak ke Sukan Olimpik dan sebaliknya.

“Perancangan ini perlu difikirkan sekarang, bukan selepas Liga Hoki Dunia,” katanya.

Isnin lalu, Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan perlantikan Beng Hai selaku ketua jurulatih tetap skuad negara manakala Neil Hawgood yang disebut-sebut calon utama untuk jawatan itu, kekal menggalas tugas selaku perunding.

Kontrak Hawgood akan berakhir hujung Jun manakala Beng Hai selepas saingan di Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:15 AM