AZMI (kiri) tidak menolak kemungkinan Hawgood selaku ketua jurulatih menggantikan Beng Hai (kanan).
AZMI (kiri) tidak menolak kemungkinan Hawgood selaku ketua jurulatih menggantikan Beng Hai (kanan).
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Neil Hawgood akhirnya bersama skuad hoki negara, tetapi bukan sebagai ketua jurulatih, sebaliknya selaku perunding bertanggungjawab membantu jurulatih sementara Tai Beng Hai.

Itulah keputusan terbaik hasil pertemuan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail serta Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad, semalam.

Shapawi yang mengesahkan perkara itu berkata, tanggungjawab selaku perunding yang diberikan kepada Hawgood itu hingga MHC mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mereka dalam tempoh terdekat.

“Saya bertemu Azmi dan Beng Hai dan kata putusnya ialah tiada perlantikan ketua jurulatih dibuat.

“MHC mencadangkan kepada kami untuk menggunakan khidmat Hawgood selaku perunding dan kami setuju dengan cadangan itu.

“Bermakna, Hawgood turut terbabit pada saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura pada 17 hingga 25 Januari ini.

“Sepanjang tempoh sebelum berlangsungnya AGM, MHC boleh membuat penilaian ke atasnya dan mungkin dapat melihat calon lain untuk dilantik selaku ketua jurulatih,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sementara itu, Azmi berkata, AGM mungkin dilangsungkan pada pertengahan Februari.

“Ketika ini Hawgood memang dilantik sebagai perunding, tapi ada juga kemungkinan beliau dilantik selaku ketua jurulatih selepas AGM,” katanya.

Sebelum ini, Hawgood dikhabarkan sebagai calon tunggal yang akan menggalas tugas selaku ketua jurulatih tetap skuad negara.

Hawgood bekas ketua jurulatih skuad wanita India dan membantu pasukannya meraih pingat gangsa di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan. Beliau juga bekas pemain Australia yang beraksi pada Sukan Olimpik 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:06 AM