Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Tai Beng Hai (gambar) tidak berasa kecil hati berhubung spekulasi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mengumumkan pelantikan jurulatih tetap menjelang Tahun Baru ini ketika beliau mempersiapkan pasukan untuk pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bermula 17 Januari.

Beng Hai yang pernah menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan sebelum ini berkata, beliau sememangnya mengetahui tugasnya adalah untuk sementara saja.

Jelas Beng Hai, spekulasi kali ini bukan pertama kali dihadapinya kerana pernah melalui pengalaman sama pada 2009.

“Pelantikan jurulatih asing sememangnya sudah ada dalam perancangan MHC. Mungkin bila-bila masa saja jurulatih itu boleh datang.

“Di pihak saya, memang tidak ada masalah. Kini MHC beri tugas kepada saya untuk membantu pasukan, saya perlu pikul tugas ini.

“Tidak timbul soal ambil hati. Sebab pada 2009, saya juga dilantik sebagai jurulatih sementara dan membantu pasukan memenangi pingat perak di Sukan Asia.

“Bagi saya, semua ini perkara biasa,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Beng Hai berkata, fokusnya tidak pernah terganggu dan apa yang mahu dicapainya ketika ini ialah membantu skuad negara meraih keputusan terbaik di Singapura.

Arena Metro semalam melaporkan MHC dijangka mengumumkan pelantikan seorang ketua jurulatih baru selewat-lewatnya Khamis ini.

Pengumuman itu sepatutnya dilakukan oleh Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu namun ia ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Antara nama disebut-sebut menggalas tugas itu adalah Neil Hagwood, bekas jurulatih skuad kebangsaan wanita India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:09 AM