ZAKRI (kiri) pada majlis pelancaran produk terbaru Allianz Booster Care.
ZAKRI (kiri) pada majlis pelancaran produk terbaru Allianz Booster Care.

Kuala Lumpur: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) mengunjurkan mencapai sasaran jualan 10,000 pemegang polisi produk barunya, Allianz Booster Care menjelang akhir tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir berkata, syarikatnya menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan RM4,000 ke bawah.

“Produk terbaru ini menawarkan perlindungan perubatan di Malaysia dan Singapura tertakluk kepada had yang ditetapkan serta turut memberikan perlindungan rawatan lanjutan yang merangkumi perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kesihatan di Singapura,” katanya pada majlis pelancarannya di sini, semalam.

Menurut Zakri, ia adalah pelan perubatan yang terbaik dengan tawaran merangkumi rawatan di Singapura, had tahunan setinggi RM200,000, had seumur hidup sehingga RM1,000,000, lima keperluan yang sesuai untuk keperluan dan bajet pengguna serta jaminan pembaharuan polisi sehingga berumur 80 tahun.

“Dengan tawaran pilihan premium yang berpatutan, pelan perubatan terbabit penyelesaian terbaik bagi pemegang polisi untuk melindungi inflasi kos perubatan serta penyakit yang serius di mana polisi perubatan sedia ada mungkin tidak mencukupi. Jadi mereka tidak perlu bimbang mengenai perbelanjaan perubatan sama ada berada di Malaysia atau Singapura,” katanya.

Sementara itu, pelancaran produk terbabit dilakukan dengan pelepasan empat trak khas yang membuat perjalanan ke 100 pejabat agensi di seluruh Semenanjung Malaysia bermula 19 Oktober hingga 19 November ini.

Trak terbabit dibuka berhampiran premis pejabat dan pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan disediakan untuk orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:02 AM