Langkawi: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) melabur lebih RM500,000 bagi memperkukuhkan kedudukannya di utara menerusi pembukaan pejabat cawangannya ke-33, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Jualannya Horst Habbig berkata, syarikat membuat keputusan untuk mengukuhkan kedudukan di pulau pelancongan itu bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Mulai sekarang, kami dapat berhubung lebih rapat dengan 2,000 pelanggan di Langkawi kerana sebelum ini semua urusan dikendalikan dua kakitangan dari Alor Setar yang datang secara berkala.

“Kami melabur RM500,000 untuk pembukaan pejabat cawangan baru, di sini, selain membuka cawangan sama di Labuan, Sabah dan Muar, Johor sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Habbig berkata, sejak bertapak di Malaysia mulai 2002, Allianz General kini memiliki 33 pejabat cawangan seluruh negara termasuk di Langkawi.

“Tumpuan kami di Langkawi adalah menawarkan perkhidmatan insurans am dengan 70 peratus daripadanya membabitkan insurans motosikal manakala bakinya untuk kereta dan rumah.

“Cawangan baru di Langkawi terletak di kawasan strategik dengan ruang pejabat seluas 111.4 meter persegi, selain dilengkapi kemudahan dan kakitangan terlatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 6:25 AM